KUCHING: Dua warga Indonesia termasuk 19 individu dikenakan kompaun RM1,000 akibat tidak mematuhi prosedur operasi standard(SOP) Covid-19 di tempat awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, kesemua pesalah tersebut ditahan oleh pasukan pemantau khas daripada Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching hasil pemeriksaan pada empat lokasi awam yang berasingan.

Menurutnya, empat daripada individu terbabit melakukan kesalahan dengan tidak memakai pelitup muka ketika berada di pasar awam manakala selebihnya didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pemeriksaan pertama di kawasan pasar BDC mendapati empat lelaki dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka.

“Kompaun selebihnya dikeluarkan terhadap tiga wanita dan 12 lelaki termasuk warga Indonesia hasil pemeriksaan di tiga lokasi berasingan iaitu sebuah Bistro di Jalan Song, kawasan King Centre, dan sebuah premis makanan kerana didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

RM1,000… pemeriksaan di beberapa tempat awam mendapati ada segelintir masyarakat atau pun pelanggan premis tidak mengambil berat tentang amalan penjarakan fizikal

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua warga asing terbabit mendapati seorang daripadanya telah menetap lebih masa di Malaysia mankala seorang lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Susulan itu, katanya, kesemua individu tersebut telah dikenakan notis kompaun RM1,000 di bawah kertas siasatan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Awang Din menambah, kedua-dua warga asing itu turut ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959/63 (Pindaan 2020).

Tegasnya, kesemua kompaun yang dikeluarkan pada 10 Ogos 2020 itu perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam masa 14 hari.

Beliau selain itu berharap agar orang awam lebih peka dan sentiasa mengikuti arahan berkaitan pematuhan SOP bagi mencegah penularan Covid-19 daripada terus berlaku.