KUCHING: Lebih baik berhati-hati daripada menyesal, jelas Datuk Richard Wee mengenai masa operasi perniagaan yang dihadkan sehingga jam 10 malam.

Presiden Persekutuan Persatuan Masyarakat Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian itu mahu keadaan berubah seperti biasa iaitu sebelum Covid-19.

Namun katanya, jika situasi kini tidak membenarkan, lebih baik semua mengambil langkah berjaga-jaga.

“Tidak semua orang mahu hidup dalam keadaan ini. Saya rasa peniaga bekerja keras untuk menerima keadaan baharu apabila ada had masa berniaga. “Kami berharap keadaan akan bertambah baik dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bertindak secara aktif dan pantas dengan segala perubahan,” katanya selepas menghadiri progam penyerahan Kad Emas Kenyalang di Gala City, Jalan Kempas kelmarin.

Beliau menambah, keputusan dibuat berdasarkan kepada keputusan bersama Kerajaan Persekutuan. Wee memberitahu, pemulihan perniagaan dan keyakinan pelanggan mengambil masa untuk kembali kepada keadaan asal.

Beliau memberikan contoh tentang keyakinan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.

Jelas Wee, sesetengah ibu bapa masih ragu-ragu untuk menghantar anak-anak ke sekolah meskipun garis panduan telah ditetapkan. “Kita tidak dapat salahkan mereka. Covid-19 sesuatu yang kita tidak boleh nampak dan tidak tahu bagaimana ia berlaku.

“Walaupun sekolah ada SOP dan peraturan, ia berkaitan tahap keselesaan,” katanya.

Wee memberitahu, keyakinan pelanggan dan pemulihan perniagaan akan mengambil masa, namun ia juga perlu dilihat daripada situasi semasa yang sentiasa berubah.