LIMBANG: Ribut yang melanda Kampung Batu Bekarang di sini semalam menyebabkan kerosakan teruk bumbung dewan di kampung berkenaan.

Salah seorang penduduk Amir Abdul Rahman berkata, angin kuat sekitar jam 4 petang itu pertama kali berlaku di kampung mereka.

“Angin terlalu kuat… sukar untuk menggambarkannya kerana ia tidak pernah berlaku.

“Sebelum itu, hujan turun renyai-renyai disusuli dentuman kuat kemudian bekalan elektrik terputus,” ujar Amir.

“Ketika itu, saya bersama-sama penduduk kampung berada di luar rumah. Kami terkejut apabila melihat bumbung dewan terbang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ujarnya, sebelum kejadian dia menghadiri kenduri arwah neneknya berdekatan dewan tersebut.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata, tidak sampai beberapa saat angin menerbangkan atap dewan.

Mujurlah tiada yang cedera,” katanya. Mengulas lanjut, pemilik restoran Jong Belabuh itu menghubungi Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah untuk memaklumkan mengenai kejadian.

Dewan berkenaan berusia lebih 40 tahun dan beberapa strukturnya sudah usang.

Penduduk menggunakan dewan berkenaan untuk aktiviti riadah serta program melibatkan penduduk kampung.