KUCHING: Sekitar 400,000 pengguna dan 10,000 premis menggunakan aplikasi Qmunity setakat semalam.

Pengerusi Persatuan PeniagaPeniaga Lebuh India Datuk Wee Hong Seng (gambar) berkata, aplikasi yang dilancarkan pada awal April lalu itu bertujuan menjadi sistem pengesanan yang telah berkembang dengan jayanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

“Pada hari ini (semalam), sebanyak 62 kod QR akan dikongsi kepada peniaga di sekitar Lebuh India dan pasukan Qmunity akan berjalan ke sekitar Jalan Carpenter dan kawasan sekitar.

“Pasukan kami akan berada di sana untuk memberikan bantuan kepada peniaga yang memerlukan bantuan pendaftaran perkhidmatan Kod QR ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pemerolehan Premis Qmunity di Lebuh India di sini, semalam.

Beliau yang juga Datuk Bandar Kuching Selatan berkata, persatuan telah memperbaiki sistem dan kekurangan Qmunity agar lebih bersifat privasi dan mesra pengguna.

“Sememangnya terdapat segelintir perniagaan di sekitar lebuh ini yang belum berdaftar dengan aplikasi Qmunity.

“Bagaimanapun pasukan Qmunity kami akan membantu peniaga dan memberikan maklumat mereka untuk aplikasi terutama untuk memudahkan sistem pengesanan Covid-19,” jelasnya.

Ketika menjelaskan keselamatan penggunaan Qmunity, beliau memberitahu pengesanan tersebut bertujuan memberi amaran keselamatan terutamanya jika terdapat kontak rapat pesakit Covid19.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) juga akan merujuk kepada MBKS dan meminta data Qmunity untuk memudahkan mereka melakukan operasi pengesanan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hong Seng menjelaskan setakat ini belum ada kewajiban untuk setiap premis memiliki Qmunity.

Kerajaan Sarawak belum ada perancangan ke arah perkara tersebut. “Namun, setiap warga Kuching wajib memiliki Qmunity kerana ia untuk keselamatan rakyat sendiri,” tambah Hong Seng lagi.