KUCHING: Penerbitan Jurnal Pengurusan Pelancongan Bertanggungjawab (JRTM) akan meletakkan kembali Sarawak di peta dunia sekali gus dapat mempromosikan Sarawak kepada pembaca.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bakal menjadi jurnal antarabangsa pertama industri pelancongan dan perhotelan di Sarawak dan akan diterbitkan tahun depan.

“Jurnal ilmiah ini bertujuan mengembangkan serta menyebarkan maklumat terkini berkaitan pelancongan dan perhotelan di Sarawak,” katanya. Karim berkata demikian dalam sidang media sempena pelancaran JRTM, di sini semalam.

Katanya, jurnal berkenaan turut bertanggungjawab untuk segala isu serta mengembangkan mana-mana destinasi domestik atau antarabangsa yang sedang membangunkan,” katanya.

Abdul Karim berkata, ia bakal menggabungkan kepakaran akademik pelancongan dan hospitaliti, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain supaya dapat berkongsi pandangan holistik, penemuan kukuh serta pandangan praktikal untuk memberi manfaat kepada pembaca.

“Jurnal ini inisiatif Fakulti Perhotelan dan Pengurusan Pelancongan UCSI dan Persatuan Penyelidikan Sarawak yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

“Ia juga berbeza berbanding jurnal biasa kerana ia menerima sentuhan pakar akademik dan pengamal pelancongan,” katanya.

Justeru katanya, artikel yang diterbitkan dalam jurnal itu akan berguna kepada golongan akademik dan pemain industri di negeri ini.

“Malah jurnal ini disunting oleh anak Sarawak,” jelasnya.

Abdul Karim berkata, jurnal berkenaan mengalu-alukan kajian yang tidak terhad kepada isu atau amalan berkaitan dengan ekonomi, sosiobudaya dan alam sekitar.

“Ini termasuk kajian mengenai tingkah laku yang tidak bertanggungjawab termasuk perjalanan, menghormati budaya, berkunjung di laman warisan dengan pemahaman yang jelas mengenai peraturan dan undang-undang, serta melakukan pembelian tanpa pembaziran, “katanya.

Tambahnya, apa yang menarik ia turut memapar kajian mengenai dasar, strategi, inisiatif atau kes untuk mempromosikan dan melaksanakan pelancongan yang bertanggungjawab serta matlamat pembangunan lestari dari sudut tempatan.