TAHUKAH anda, burung ruak-ruak atau wak wak dan ayam-ayam diwartakan sebagai spesies hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Kedua-dua spesies burung liar ini meskipun sering dilihat di kawasan penempatan manusia, namun ia akan terbang atau berlari menyorok apabila menyedari kehadiran manusia.

Burung ruak-ruak atau wak-wak ini atau nama saintifiknya Amaurornis phoenicurus merupakan sejenis burung air. Antara ciri-ciri fizikal burung ini ialah mempunyai sepasang mata hitam, paruh kuning pucat, balung kecil warna merah pada kawasan hidung.

Selain itu, bulu burung ini berwarna hitam keseluruhan atas kepala hingga ke ekor dan warna putih pada bahagian muka membawa ke dada hingga tengah badan. Manakala bahagian bawah perut hingga ke ekor berwarna perang.

Ia juga mempunyai sepasang kaki panjang berwarna kuning dan ekor yang pendek. Dari segi habitat, burung ini biasanya menghuni kawasan yang mempunyai sumber air seperti kawasan tasik, lembah hutan berpaya air tawar, sawah dan kawasan yang mempunyai banyak tali air.

Burung ayam-ayam (Gallicrex Cinerea) jantan dan betina mempunyai warna fizikal yang berbeza. Antara ciri-ciri burung jantan ialah berbulu badan yang berwarna kehitaman dengan jalur putih, paruh berwarna kuning, bahagian bawah paruh berwarna merah dengan balung merah yang panjang pada bahagian atas kepala.

Foto Wikipedia

Bagi burung betina pula, bahagian atas badan berwarna coklat gelap, bahagian hujung bulu berwarna kuning pucat serta bahagian belakang tengkuk, atas belakang badan dan pangkal sayap berwarna kelabu.

Habitatnya di kawasan hutan paya air tawar, kawasan air yang berumput, sawah padi dan ada ketikanya ditemui di kawasan hutan paya bakau sama seperti habitat burung wak-wak.

Oleh itu, menyimpan tanpa permit atau memakan dua spesies burung ini, boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun bagi burung jantan.

Sementara, denda RM200,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun bagi burung betina atau tidak matang.