LIMBANG: Sambutan terhadap seni khat amat memberangsangkan dalam kalangan masyarakat setempat.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, untuk itu bengkel dan pertandingan seni khat akan dapat menghidupkan semula kesenian Islam dalam kalangan masyarakat.

“Bengkel Keseniaan Khat ini telah berlangsung selama sehari yang disertai 50 orang. “Turut diadakan ialah bengkel dan ceramah mengenai penulisan khat serta pertandingan khat melibatkan kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan dewasa.

“Festival Kesenian Islam ini dianjurkan untuk menghidupkan semula kesenian Islam seperti khat, nasyid dan lagu-lagu dakwah.

“Memanah juga kita masukkan,” katanya pada Majlis Penangguhan Bengkel dan Pertandingan Seni Khat 1441H/ 2020 di Dewan Kampung Bunga Raya Limbang, baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Adun Bukit Kota berkata, festival berkenaan dirancang di bawah Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang, namun terpaksa ditunda disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun ujarnya, program berkenaan tetap diteruskan dan diubah suai mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Tahniah kepada Jawatankuasa dan Persatuan Qurra’ sebagai tuan rumah kerana dapat menganjurkan kesenian khat ini iaitu kaligrafi khusus seni khat dan tulisan jawi sebagai lambang dan identiti Islam dan masyarakat Melayu Islam,” jelasnya.