SARIKEI: Pelbagai pertubuhan termasuk persatuan sukarela menerima sumbangan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM169, 500 daripada ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, semalam.

Badan sukarela terbabit ialah sebanyak 30 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah, empat PIBG sekolah menengah, empat organisasi kumpulan, sebuah persatuan agama, sebuah persatuan tokong dan Sekolah Menengah Ming Lik.

Organisasi lain yang turut menerima sumbangan ialah Jawatankuasa Penyelaras Penyenggaraan Bangunan Gunasama Persekutuan (JKPPBGP) Sarikei, Kelab Sukan Rekreasi Goyang Sarikei, Jawatankuasa Penyelaras G Tadika Perpaduan Bahagian Sarikei, Perkim Wanita Cawangan Sarikei, Persatuan Agama Buddha Tantrayana dan Persatuan Sing Hing King Sarikei.

Pada masa yang sama, Huang turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Sekolah Menengah Ming Lik.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua penerima memanfaatkan sepenuhnya sumbangan geran berkenaan untuk melaksanakan aktiviti demi kepentingan ahli dan masyarakat setempat.

Menurutnya, pengagihan geran itu membuktikan kerajaan sentiasa mendengar suara hati rakyat dan mengambil pelbagai pendekatan bagi membantu mereka terutama yang berkaitan dengan program kemasyarakatan.

“Peruntukan ini harus digunakan untuk keperluan yang lebih penting dan sekiranya terdapat lebihan, sewajarnya disimpan untuk keperluan pada masa akan datang.

“Manfaatkan peruntukan itu dengan sebaik- baiknya untuk faedah dan kepentingan bersama. Bagi PIBG pula, saya berharap pemberian ini menyuntik semangat mereka untuk lebih aktif menganjurkan aktiviti demi masa depan anak bangsa,” jelasnya.