LINGGA: Adun Lingga Simoi Peri bersyukur apabila isu bekalan air yang menghantui sekitar 7,500 penduduk di kawasan Agropolitan Seduku dan Stumbin Bijat diselesaikan oleh Kerajaan Sarawak.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Utiliti yang diterajui oleh Datuk Seri Stephen Rundi Utom.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Utiliti dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) yang telah merealisasikan projek bekalan air grid Sarawak di Agropolitan Seduku dan Stumbin Bijat… siap serta terlaksana dengan jayanya.

“Ia memberi manfaat kepada sekitar 7,500 penduduk di sini, sekali gus berjaya menangani masalah gangguan bekalan air yang sering menimbulkan kesulitan kepada penduduk,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak dengan kos RM1.4 juta itu melibatkan pemasangan saluran paip jenis High-Density Polyethylene (HDPE) bersaiz 400 milimeter sepanjang dua kilometer di sepanjang jajaran alternatif bagi menggantikan paip sedia ada di tebingan Batang Lupar, Jalan Skait-Gran Ring.

Selain itu ujarnya, kedua-dua buah loji tersebut juga telah disambungkan dan menerima bekalan air tambahan dari Loji Rawatan Air Bayai untuk memastikan penduduk mendapat bekalan air berkualiti secara berterusan.

Simoi menambah, ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang mengutamakan hak, kehendak dan keperluan rakyat.

“Malah Kerajaan Sarawak juga akan terus memastikan pembangunan di kawasan luar bandar sentiasa diteruskan demi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar,” jelasnya.