BINTANGOR: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas rebah berhampiran tandas awam Pasar Tamu Bintangor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Supt Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, mangsa dikenali sebagai Ling Ban Hua, 55, berasal dari Sungai Gemuan.

Katanya, Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 1.03 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Hasil maklumat yang kita peroleh, mangsa dipercayai menghadapi masalah mental, darah tinggi dan kencing manis,” katanya ketika dihubungi.

Setakat ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).