KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek penyambungan talian grid elektrik bagi 128 buah sekolah di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, projek berkenaan melibatkan sekolah yang jaraknya kurang satu kilometer daripada tiang utama elektrik.

“Maka, penyambungan bekalan tenaga elektrik merupakan komitmen kerajaan yang dilakukan menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak dengan anggaran kos RM50 juta.

“Ia dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu 15 sekolah (fasa pertama), 34 sekolah (fasa kedua) dan 79 sekolah (fasa ketiga),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Larry Sng Wei Shien (PH-Julau) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Hang Soon, KPM juga telah mengenal pasti 95 buah sekolah yang jaraknya lebih satu kilometer daripada tiang elektrik utama tetapi berpotensi disambungkan dengan grid elektrik.

Ujarnya, projek penyambungan ini dilaksanakan oleh JKR Malaysia yang telah bermula pada Mac lalu dan dijangka selesai pada Ogos 2021.