KUCHING: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang bersedia untuk mematuhi SOP selepas dibenarkan beroperasi pada 25 Ogos ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, PPDK diberi kebenaran untuk beroperasi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Katanya, hanya PPDK di kawasan zon hijau dibenarkan untuk beroperasi dan diberi dua minggu untuk membuat persiapan.

“Operasi pusat berkenaan di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian ditangguhkan sementara waktu sehingga bertukar kepada zon hijau,” jelasnya.

Mengenai langkah penting yang perlu diambil oleh PPDK, Fatimah memberitahu, pelatih yang bergejala seperti demam, selesema, batuk, sakit tekak dan kesukaran bernafas termasuk jawatankuasa, penyelia, petugas tidak dibenarkan masuk ke kawasan PPDK.

Beliau menggalakkan pusat itu supaya mendaftar aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kod QR MySejahtera dan mempamerkan kod QR tersebut di pintu masuk PPDK.

“Setiap individu yang masuk ke premis PPDK digalakkan menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan merekodkan kehadiran setiap hari,” katanya pada sidang media garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan Covid-19 di PPDK Sarawak di Wisma Kebajikan semalam.

Tambah Fatimah, saringan kepada penyelia, petugas dan pelatih harus dilakukan di pintu masuk utama setiap hari sebelum masuk ke premis menggunakan seperti alat pengimbas suhu digital dan infra merah.

Tegasnya, pelawat tidak dibenarkan semasa operasi sehingga keadaan pulih sepenuhnya kecuali atas sebab kecemasan.

Katanya, bilangan pelatih dan penyelia serta petugas yang tidak sihat setiap hari dicatat untuk memantau status kesihatan pelatih dan penyelia termasuk petugas di PPDK.

“Sekiranya didapati bilangan kes meningkat atau lebih daripada biasa, lapor kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk siasatan,” tambahnya.

Mengenai ibu bapa yang enggan menghantar anak ke PPDK, Fatimah berkata, tidak wajib dan terpulang kepada mereka untuk menghantar anak-anak ke PPDK tersebut.