KUCHING: Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Cawangan Sarawak Ambun Dindang memaklumkan negeri ini bakal berdepan musim panas yang panjang sehingga awal Oktober depan.

Jelasnya, walaupun musim kemarau bermula sejak Mei lalu, namun pada Jun dan Julai lepas berlakunya hujan yang kerap di Sarawak.

“Sejak awal Ogos, keadaan cuaca lebih kering dengan curahan hujan yang sedikit ketika kita berada di puncak musim monsun barat daya.

“Musim kemarau ini akan berlangsung sepanjang bulan Ogos dan September, mungkin hingga awal Oktober,” katanya di sini, semalam.

Mengenai kemungkinan berlakunya jerebu berikutan Pusat Meteorologi Khas Asean mengesan titik panas di Kalimantan Barat, katanya, ia bergantung kepada jumlah titik panas dan arah angin.

“Pada 8 Ogos lalu sebanyak 185 titik panas dikesan di Kalimantan dan 37 di Sarawak sementara pada 9 Ogos jumlah titik panas menurun kepada lima di Kalimantan dan satu di Sarawak,” ujarnya lagi Menurutnya lagi, sekiranya angin berterusan dan jumlah titik panas di Kalimantan meningkat untuk tempoh kini, ia boleh menyumbang kepada jerebu rentas sempadan di Sarawak terutama dengan pembakaran terbuka.

Isnin lalu Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia juga mengeluarkan kenyataan, negara tidak akan mengalami kesan Gunung Berapi Sinabung di Sumatera kerana ramalan Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia yakin fenomena itu tidak menjejaskan kualiti udara di Malaysia.

“Difahamkan Gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia meletus pada Isnin 10 Ogos sekitar jam 11.37 pagi.

Asap debu gunung berapi tersebut dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri-negeri di utara serta timur Semenanjung Malaysia bermula malam ini (Isnin),” katanya.

Jelasnya lagi keadaan ini boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter.

“Namun demikian, tiada kesan gempa bumi akibat letupan gunung berapi melanda negeri ini.

Keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara menunjukkan kualiti udara biasa. “Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman rasmi aplikasi myCuaca dan media sosial,” katanya lagi.