KUALA LUMPUR: Peruntukan tambahan melalui Bantuan Makanan Asrama untuk sekolah berasrama khasnya di SMK Selirik, SMK Baleh serta di seluruh Sarawak perlu disegerakan.

Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, sistem pendidikan di Sarawak melonjak begitu tinggi sejak 50 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, prasarana pendidikan masih kekal seperti dulu.

“Saya sentiasa mengutarakan isu pendidikan di kawasan luar bandar kerana saya sendiri melalui proses ini.

“Sejak kecil saya dibesarkan di kawasan luar bandar.

Saya melalui saat-saat getir kehidupan hingga menjadi wakil rakyat.

“Saya tidak mahu pengalaman perit saya lalui puluhan tahun lalu dirasai generasi hari ini,” tegasnya ketika Perbahasan Rang UndangUndang (RUU) Anggaran Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Tambahan Pertama 2019 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau mencadangkan supaya Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani memberikan perhatian lebih khusus kepada masyarakat di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Saya harap agar kementerian memberi perhatian supaya rakyat pedalaman dapat menikmati skim subsidi baja padi dan skim insentif pengeluaran padi.

“Ini bagi membantu mereka mengeluarkan hasil lebih banyak terutamanya sejak PKP, ramai yang masih bergelut menambahkan pendapatan harian,” jelasnya.

Menjelas mengenai keperluan penambahan fasiliti di Hospital Kapit khasnya di kawasan luar bandar, Wilson bercadang supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menempatkan sebuah mesin pengimbas di Hospital Kapit supaya memudahkan rakyat mendapatkan akses kemudahan kesihatan lebih baik.

Beliau mendedahkan, tanpa kemudahan tersebut penduduk di kawasan pedalaman terpaksa berulang alik ke Sibu hanya untuk mendapatkan kemudahan yang sama.

“Kesihatan merupakan perkara asas diberikan secara percuma oleh Kerajaan Persekutuan.

“Saya sentiasa berusaha bagi memastikan rakyat di kawasan pedalaman supaya dapat menerima rawatan setaraf penduduk di bandar,” ujarnya.