KUCHING: Cubaan tiga individu warga tempatan membawa keluar lapan orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia melalui jalan tikus gagal apabila dikesan pasukan tentera.

Kesemuanya ditahan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Tetangga Akrab, kira-kira 4 kilometer dari sempadan Malaysia/Indonesia kira-kira jam 9 pagi tadi.

Menurut Markas Divisyen Pertama Infantri, empat lelaki, lima wanita bersama dua kanak-kanak terbabit ditahan oleh anggota Batalion ke 10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) semasa sedang menjalankan Op Awas di kawasan sempadan Malaysia/ Indonesia itu.

“Semasa sedang menjalankan Op Awas di kawasan Ladang Kelapa Sawit Tetangga Akrab, anggota 10 RRD telah ternampak empat lelaki, lima wanita bersama dua kanak-kanak melalui kawasan tersebut dengan menaiki tiga buah motosikal.

“Setelah ditahan dan diperiksa, kesemua mereka dipercayai cuba pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak sah.

“Tiga individu warga tempatan terbabit dipercayai merupakan tekong darat yang cuba membawa keluar Pati melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua individu yang ditahan termasuk barangan yang dirampas seperti motosikal dan telefon bimbit, yang dianggarkan bernilai RM12,500 telah dibawa ke Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut.