12,000 sudah derma darah

MIRI: Sebanyak 12,000 penderma darah dicatatkan di Bahagian Miri, jelas Menteri Pengangkutan yang juga Timbalan Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri Datuk Lee Kim Shin.

Menurutnya, sejak 25 Mac lalu hingga semalam pula, sebanyak 1,724 individu telah mendaftar untuk menderma darah di sini. Daripada jumah itu katanya, sebanyak 1,462 orang berjaya menderma darah.

“Usaha Hospital Miri dan Jawatankuasa Pengambilan Derma Darah BSMM harus dipuji kerana berjaya menganjurkan kempen derma darah ke-51 semalam, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan kempen derma darah sempena sambutan Hari Bulan Sabit Merah Sedunia di Ibu Pejabat BSMM Miri, kelmarin.

Kim Shin memberitahu, kempen derma darah itu sebahagian acara meraikan ulang tahun pengasas Bulan Sabit Merah iaitu Jean Henry Dunant yang dilahirkan pada 8 Mei 1928.

“Walaupun kempen derma darah ini bersempena sambutan hari jadi pengasas, ia juga mempunyai tujuan yang lebih praktikal.

“Melalui aktiviti ini, kita dapat memastikan bekalan stok darah sentiasa mencukupi untuk penduduk Miri dan kawasan luar bandar dalam tempoh PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan,” katanya.

Ujar beliau, tema sambutan Hari Bulan Sabit Merah Sedunia ialah #Keepclapping untuk sukarelawan, kakitangan dan semua orang. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah Kaunselor Karambir Singh turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak