KUCHING: Gula pasir, minyak masak dan petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran ditemui ditinggalkan di Tebedu pada Selasa lalu.

Semua barang kawalan bersubsidi itu kemudian dirampas oleh IPD Serian dan diserahkan kepada KPDNHEP Sarawak.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, barangan itu terdiri daripada 84 paket gula pasir 1kg, 51 paket minyak masak 1kg, 18 botol minyak masak 2kg dan 200 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM874 “Pemilik semua barangan ini dipercayai telah melarikan diri,” katanya, semalam.

Stanley berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, sabit kesalahan jika membabitkan sebuah pertubuhan boleh didenda tidak lebih RM3 juta bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan.

Jika bukan sebuah pertubuhan pula jelasnya, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi setiap kesalahan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“KPDNHEP dengan kerjasama jabatan serta agensi penguat kuasa akan diteruskan untuk memantau, menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa untuk menangani ketirisan barang kawalan bersubsidi,” katanya lagi.