KUCHING: Tangannya pernah menyulam keringkam – satu-satunya seni sulam yang menggunakan jarum dan benang emas untuk dijadikan selendang pilihan wanita ternama dan kaya.

Siapa yang tidak kenal dengan Nora Zaidel atau nama sebenar Nora Syamsiah Zaidel,45, tukang sulam keringkam yang tersohor sedikit masa dahulu.

Sebut sahaja namanya, ramai yang terbayang keindahan keringkam yang disulamnya.

Namun siapa sangka kini tangan yang memegang jarum emas itu kini mengopek kulit petai, mengisar cili dan memegang periuk panas.

“Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu.

Semuanya berpunca daripada PKP susulan Covid-19. Ia merubah segala-galanya – tiada lagi kerlipan benang emas semuanya beralih ke dapur belanga.

“Pada mulanya, saya memang membuat keringkam dan masih lagi menenun jika ada kesempatan.

“Sejak PKP banyak kedai diarahkan tutup. Disebabkan bosan, tidak dapat mencari stok benang, jarum untuk membuat keringkam, akhirnya terfikir untuk membuka tempahan makanan,” katanya.

Ketika ditemui Suara Sarawak di kediamannya, Nora menjelaskan perniagaan sambal diuruskan sepenuhnya sendiri terutamanya memilih bahan mentah sehingga ke pembungkusan dan pemasaran.

Malah kualiti pembungkusan sambal juga dijaga dengan baik termasuk membalutnya dengan kemas supaya kekal bersih dan tidak tumpah.

Sebelum memaksakan dirinya untuk jatuh cinta kepada perniagaan sambal, dia pernah membuka tempahan makanan selera Semenanjung.

“Jarang ada di Sarawak seperti menu siput sedut masak lemak, udang masak lemak tempoyak, daging salai masak lemak dan daging pekasam.

“Terutamanya pekasam daging yang jarang ada di negeri ini. Saya sendiri menempahnya dari Semenanjung untuk dijual di sini,” katanya.

Kemudian Nora terfikir lagi mahu membuat sambal hitam belimbing.

“Saya tanya kepada abang saya memandangkan isterinya orang Pahang.

Pada mulanya, sambal hitam yang saya buat tidak menjadi dan hangus.

“Cubaan kali kedua barulah sambal tersebut dapat dijual, tetapi ketika itu belum terkenal lagi,” katanya.

Cerita Nora, salah seorang kawannya menolong untuk mempromosikan sambal hitam belimbing di Facebook lalu menjual kepada rakan pejabatnya.

“Selepas kejadian tersebut, tidak sangka sambal hitam belimbing saya mendapat sambutan hangat daripada penggemar,” katanya.

Tambahnya, setelah pelbagai masakan yang jarang dimakan orang negeri ini dijualnya sepanjang dua bulan lalu, dia cuba lagi satu resipi – sambal petai tempoyak.

“Inilah yang membuka laluan lebih besar hingga mendapat tempat di hati penggemar petai. Rakan saya juga mencadangkan saya membuat sambal petai tempoyak pada bulan puasa lalu,” katanya.

Kongsi Nora, semua bermula daripada keinginan rakannya yang menempah sambal petai tempoyak dari Semenanjung yang tidak kunjung tiba kerana PKP.

“Kemudian, rakan menyuruh saya untuk mencari resepi di Google dan mencuba sendiri. Malangnya di Kuching, sukar mencari petai jika bukan musimnya,” ujarnya.

Sehingga pada satu hari Nora terjumpa petai di Medan Niaga Satok dan teringin untuk mencuba.

“Saya seolah-olah jumpa longgokan emas. Benar kata orang, jika ada petai di Kuching ia umpama terjumpa emas berlian,” katanya menambah, waktu itu petai yang ada berharga RM65 sekilogram.

“Saya membeli setengah kilo untuk dicuba. Kebetulan saya ada tempoyak dan botol di rumah.

“Setelah siap memasak dan menghasilkan 15 botol, saya kemudiannya cuba mempromosikan dalam Facebook dengan meletakkan harga RM15 sebotol.

“Saya terkejut kerana pada hari sama ia laris. Saya tidak sangka ia mendapat sambutan,” katanya.

Bermula saat itu, Nora semakin bersemangat untuk menghasilkan sambal petai sama ada sambal petai tempoyak atau ikan bilis dan sambal hitam belimbing untuk pelanggan sehingga dirinya tidak menang tangan.

Oleh kerana semua dilakukan tenaga sendiri, Nora hanya mampu membuat 20 botol untuk setiap sambal yang berharga RM13 hingga RM20.

Jelasnya, sambalnya dijual mengikut saiz dengan 200 gram yang berharga RM20 dan 120 gram dengan harga RM13 ke RM15.

Pelbagai sambal petai dimasak oleh Nora bagi menepati selera pelanggan. Malah ada yang pernah berbisik kepadanya, rasa pedas sambal tersebut membuatkan mereka semakin suka untuk mengulang tempahan daripada Nora.

“Ada pelanggan suka makan petai, tapi tidak suka makan tempoyak.

“Begitu juga ada yang suka makan tempoyak, tetapi tidak suka makan petai.

“Saya cuba untuk mengikut selera pelanggan dan dari situ saya tahu, lebih ramai pelanggan yang meminati sambal bilis petai berbanding sambal petai tempoyak,” katanya.

Sememangnya sambal bilis petai Nora sangat laris sehingga dirinya perlu mencari stok petai ke Kuala Lumpur bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Di sana, saya boleh mendapatkan petai dengan harga RM30 sekilo berbanding di sini,” katanya.

Setiap sambal Nora dipromosikan sepenuhnya melalui media sosial selain boleh didapati di salah sebuah pasar raya di Metrocity.

Kini, ketiga-tiga sambal buatan Nora Zaidel merentasi Miri, Bintulu, Sibu, Samarahan termasuk Semenanjung Malaysia. Selepas PKP dan PKPP, pelanggan kembali mencari Nora untuk permintaan membuat keringkam namun dia hanya mengambil tempahan keringkam mudah sahaja.

Peminat sambal bilis petai, sambal petai tempoyak dan sambal hitam belimbing boleh berhubung terus kepada Nora di talian 019- 8573675 atau facebook Nora Zaidel