BARU-BARU ini saya membaca kembali buku The People’s Victory tulisan aktivis, dramatis dan bekas wartawan, Kee Thuan Chye. Buku setebal 288 halaman ini diterbitkan Marshall Cavendish pada 2019. Dengan tema “Bagaimana rakyat Malaysia menyelamatkan negara mereka”, ia berkisar pengalaman politik Thuan Chye ketika Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada 9 Mei 2018.

Naratif penceritaannya bermula awal, sekitar pilihan raya 2008 dan 2013, apabila Pakatan Rakyat (PR) ketika itu, melangkah selangkah demi selangkah dalam perjuangannya. Ya, dalam kedua-dua pilihan raya tersebut, parti tersebut gagal.

Sesuai dengan bukunya yang berwarna biru, penulis yang juga penyokong Pakatan Harapan memang bias.

Namun dia menulis dengan jujurnya, tentang beberapa perkara, terutama tentang taktik politik yang digunakan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menulis tentang bagaimana pada jam 7.28 malam, ketika Pilihan Raya Umum 2013 sedang berlangsung, Anwar menghantar tweet memaklumkan bahawa PR telah menang.

Malah Anwar mencadangkan agar Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cuba merampas keputusan tersebut.

Keyakinan Anwar itu tersebar dengan begitu pantas dan tular. Thuan Chye mengakui beliau skeptikal dengan pengumuman Anwar itu, kerana masih terlalu awal untuk manilai kemenangan pada waktu itu.

Pada jam 12.30 malam katanya, SPR mengesahkan Barisan Nasional (BN) telah menubuhkan kerajaan di lima negeri iaitu Terengganu, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka.

15 minit kemudian, SPR mengesahkan pula BN telah memenangi 108 kerusi parlimen dan sembilan minit berselang, parti tersebut membentuk kerajaan dengan memperolehi majoriti mudah 112 kerusi. PR hanya memenangi 58 kerusi.

Keputusan akhir menyaksikan BN menang 133 kerusi, selain menang Dun Perak dan Kedah. PR ketika itu menguasai undi popular, dengan 50.87 peratus sokongan, namun tidak pada undi sebenar mengikut kawasan, kerana Malaysia mengamalkan sistem first-past-the-post.

Dalam pilihan raya tersebut, wujud pelbagai permainan persepsi.

Ini termasuklah tanggapan pengundi hantu, yang mana 40,000 rakyat Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi bagi pihak kerajaan.

Tidak cukup dengan itu, dimomokkan tentang insiden blackout atau ‘lampu padam’ di pusat-pusat penjumlahan undi.

Kesemua momokan ini mewujudkan persepsi yang tidak sihat, bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi juga kepada SPR, walhal ia tidak pernah berlaku.

Thuan Chye berkata, beliau tidak mempercayai fitnah dan tohmahan tersebut kerana ia amat jelas tidak lojik. Angka 40,000 katanya, tidak sedikit, apatah lagi melibatkan pendatang Bangladesh.

Akibatnya, ada antara pengundi yang ditahan oleh penyokong politik pembangkang ketika sedang melaksanakan tanggungjawab mereka, hanya kerana wajah yang menyerupai rakyat Bangladesh.

Malah kad pengenalan mereka pun dipertikai. “Banyak proses yang terpaksa dilalui oleh setiap pemilih sebelum mengundi, termasuk wajah mereka mesti sama dengan kad pengenalan. Jika ada yang mencurigakan, sudah pasti ada antara wakil calon akan melakukan bantahan.

“Tidak mudah untuk menipu dalam konteks pilihan raya moden dan ketat ini,” jelas beliau lagi.

Berkaitan dengan blackout pula, ia amat jelas tidak masuk akal. SPR telah bersedia jika perkara itu terjadi di semua pusat penjumlahan undi, termasuk menyediakan set jana kuasa.

“Bukan sahaja Tenaga Nasional mengenal pasti tiada insiden bergelap berlaku, malah tiada laporan polis mengenainya dilaporkan.

Kee Thuan Chye

Jika berlaku insiden tersebut, laporan polis pasti dilakukan oleh pihak yang terbabit. Penjumlahan undi, katanya lagi bukan dihitung di pusat penjumlahan undi akhir, sebaliknya di setiap saluran.

Justeru, amat tidak lojik jika wujud penambahan kertas undi, biar kotak dibawa masuk lewat (kerana ia hanya mematuhi prosedur). Sebaliknya jumlah undi telah dicatat awal dalam Borang 14 SPR yang ditandatangani setiap wakil calon. Justeru tiada ruang untuk menipu.

“Di Lembah Pantai, ditularkan di media sosial tentang kotak undi tambahan dibawa masuk, pergaduhan dan pelepasan gas pemedih mata oleh FRU. Tetapi insiden ini tidak berlaku. Pilihan raya tersebut juga menyaksikan penggunaan dakwat kekal pada jari untuk pertama kalinya.

Perkara ini pun menjadi isu kerana dakwat tersebut dikatakan dapat dicuci dengan mudah, dan tidak kekal tujuh hari seperti yang didakwa.

Namun perkara ini dinafikan oleh SPR, kerana proses pengundian hanya berlangsung sehari. Anwar jelas gagal menerima kekalahan tersebut. Beliau mendakwa kemenangan PR telah dirampas.

Malah katanya, keputusan di sekitar 30 ke 40 kawasan pilihan raya tidak dapat diterima pihaknya (ada unsur penipuan). Justeru beliau menggerakkan gerakan massa, yang kemudian dijadikan himpunan bersiri Black 505.

Apabila kes ini dibawa ke mahkamah pilihan raya, PR hanya memfailkan petisyen terhadap 25 kerusi parlimen, dan 10 kerusi Dun. Tetapi sukar untuk parti itu membuktikan berlaku penipuan dalam proses demokrasi tersebut.

Rentetan apa yang berlaku pada 2013 itu seharusnya memberi iktibar kepada kita. Banyak berita, banyak dakwaan boleh dicipta dan dicetus menjelang pilihan raya, terutama oleh pencatur politik.

Mereka menciptakan apa sahaja alasan, cerita dan fitnah, asalkan dapat menghalalkan niat mereka merampas kerusi dan mencipta kemenangan, walaupun ia tidak bertanggungjawab.

Ia merupakan strategi politik, kerana hanya dengan kebencian, tindakan sebesar menukar kerajaan dapat dilakukan. Tetapi sebagai rakyat yang waras, berfikirlah sejujurnya.

Siasat terperinci dan dapatkan maklumat sahih sebelum terpengaruh dengan tularan berita yang sensasi. Peristiwa di atas dicatat oleh penyokong tegar PR dan PH, yang berjuang untuk parti itu.

Namun beliau secara jujur memberi pandangan apa yang berlaku seterusnya.

Oleh itu, berhati-hatilah. Bermula hari ini, menjelang pilihan raya, akan banyak cerita politik, gosip, malah fitnah bertapak dalam media sosial.

Usah percaya bulat-bulat. Sebaliknya lihat kepada pandangan yang lebih luas, sebelum kita mempercayai sesuatu cerita yang direka.

Kewaspadaan ini akan mengelak kita menangis di kemudian hari, kerana menggadai masa depan anak cucu kita, hanya kerana fitnah dan fiksyen politik.

Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.

Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.