PADAWAN: Dua wanita warganegara Indonesia bersama-sama seorang lelaki tempatan dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal ketika di sebuah pusat snuker di Jalan Tondong, Batu Kawa di sini.

Ketiga-tiganya ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan petugas khas IPD Padawan yang diketuai Timbalan Ketua Polis Padawan DSP Lim Jaw Shyong sekitar jam 11 malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua wanita itu merupakan pekerja pusat snuker berkenaan manakala lelaki berusia 34 tahun itu merupakan pelanggan.

“Mereka dikompaun kerana gagal menggunakan pelitup muka, tidak mencatat butiran diri yang diperlukan pada buku catatan dan beroperasi lebih masa.

“Ketiga-tiganya dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kedua-dua wanita itu turut ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

“Mereka mengaku bekerja di premis berkenaan dan memaklumkan dokumen pengenalan diri mereka disimpan oleh majikan,” katanya.

Jelasnya, kes turut disiasat di bawah Peraturan 10, Peraturanperaturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020.