KABONG: Tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 Adun Kabong Mohd Chee Kadir bernilai RM900,000 akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat selepas penyerahan dokumen kontrak kepada kontraktor dilaksanakan, semalam.

Majlis ringkas penyerahan tersebut dihadiri Pegawai Tugas Khas kepada Adun Kabong Nur Elffi Amir dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Saratok sebagai agensi pelaksana.

Elffi memberitahu, projek pertama melibatkan pembinaan Pusat Sukan Rakyat Kabong bernilai RM530,000.

Sementara dua lagi kerja menaik taraf Pusat Penjaja Kabong dan Jalan Kampung Hilir Darat masing-masing dengan kos RM300,000 dan RM70,000.

Difahamkan, pelaksanaan beberapa projek sedikit tersasar daripada jadual asal ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, Chee komited untuk memastikan semua projek pembangunan dapat dimulakan segera untuk memastikan rakyat mendapat manfaat.

Turut hadir wakil Pejabat Daerah Kabong Ahmad Sabree Salleh dan wakil JKR Adrian Linggie Manjan.