SEMATAN: Projek Anjung Usahawan Telok Melano dibangunkan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangasa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan untuk membantu usahawan di pantai Telok Melano dari segi kemudahan agar terus berkembang maju.

Mohammad Ikmal Sepawi, 23, yang mengusahakan kedai makan milik ibunya Hadiah Suteh, 54, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana projek itu membantu memajukan perniagaannya.

“Perniagaan kami di sini berjalan lancar. Semua pelanggan memberikan respons positif, tambahan pula Telok Melano menjadi tumpuan pengunjung pada hujung minggu.

“Cuma ribut, hujan lebat dan pasir menyukarkan kami yang memaksa kami menggunakan kanvas dan atap zink untuk membina kedai,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Menurutnya, anjung usahawan itu akan dapat membantu mereka mendapatkan bekalan elektrik, sementara stok makanan dapat disimpan dengan selamat.

“Kini banyak inap desa dibangunkan, bermakna ramai pengunjung akan datang,” tambahnya.

Suri rumah Hayati Ahmad, 38, berharap anjung usahawan itu akan membantu peniaga terutama ketika berlaku ribut yang memaksa kedai ditutup.

“Sepanjang berniaga, saya memperoleh RM100 sehari bergantung kepada keadaan semasa, lebihlebih lagi pada hujung minggu.

Lebih 1,000 pengunjung datang ke Telok Melano sebelum Covid-19 melanda.

“Ketiadaan bekalan elektrik menjadi cabaran kepada saya. Menjadi harapan kami supaya lebih banyak kemudahan disediakan, antaranya tandas awam, sistem perpaipan dan kemudahan bekalan elektrik,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik Homemade Abang Mat Coconut Shake, Rahmat Suhaimi, 40, turut mengharapkan projek itu dapat membantu mereka berniaga dengan senang, tersusun dan sistematik “Saya harapkan projek ini dapat memulihkan cabaran yang kami hadapi, antaranya tiada bekalan air paip sistematik dan bekalan elektrik,” tambahnya.

Dia berharap dengan adanya projek itu, kawasan Kampung Telok Melano dapat dibangunkan dengan apa-apa sahaja kemudahan awam lain.