SIBU: Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa penduduk kampung berhampiran Sungai Rajang dan Igan tidak puas hati dengan pembinaan fasa keempat Projek Tebatan Banjir Sibu.

Dalam satu kenyataan semalam Tiong menegaskan, beliau telah menerima banyak aduan penduduk yang bimbang jumlah air yang akan dipam keluar dari stesen pam projek akan menjejaskan kawasan penempatan mereka.

“Dengan keadaan dasar Sungai Rajang dan Igan yang semakin cetek angkara aktiviti manusia di bahagian hulu, mereka bimbang kedua-dua sungai berkenaan tidak mampu menampung jumlah air yang dipam keluar. Ia akan memberi impak di kawasan hilir,” tegas Ahli Parlimen Bintulu itu.

Menurutnya, penduduk juga terkilan dengan keengganan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kajian terperinci untuk menyelesaikan isu banjir di Sibu.

Jelasnya, kajian dan tinjauan perlu dilakukan, apatah lagi dasar Sungai Rajang dan Igan belum pernah dikorek sepanjang 60 tahun. Susulan itu ujarnya, banyak kawasan terutamanya kawasan rendah sering dinaki air.

“Justeru, kita perlu mengenal pasti kawasan yang terjejas teruk dan bagaimana masalah banjir dapat diatasi dengan berkesan,” kata Duta Khas Perdana Menteri ke China itu.

Tiong berpendapat, dengan hanya bergantung pada data dan maklumat yang tidak mencukupi, masalah tersebut tidak akan dapat diselesaikan.

Dedahnya, impak daripada projek akan memberi kesan kepada kapal pengangkut kerana dasar dan lebar sungai akan berubah.

“Malah kerja-kerja mengorek pasir dan mendalamkan Sungai Rajang di Pulau Kerto juga belum pasti dapat dilaksanakan. “Jadi adalah lebih baik buat kajian terlebih dahulu agar apaapa yang kita buat nanti lebih berkesan.

“Oleh itu, adalah amat penting untuk memastikan Sungai Rajang dapat menampung air atau berisiko seluruh Sibu banjir seperti Atlantik,” tambah Tiong lagi.