SERIAN: Perjalanan sebuah kenderaan mewah jenis Velfire ke ladang sawit Jalan Mongkos berjaya membongkar cubaan aktiviti penyeludupan seramai 20 individu pendatang asing tanpa izin(PATI) ke Sarawak, semalam.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am Sarawak, SAC Mancha Ata berkata, laluan tikus terbabit telah diserbu oleh sepasukan kompeni B, Batalion 11 PGA Kuching pada jam 10.45 malam hasil maklumat dan risikan yang diperoleh menerusi Op Benteng Covid.

Menurutnya, seramai 15 lelaki dan lima orang wanita masing-masing warga Indonesia ditemui tanpa sebarang dokumen perjalanan sah ketika serbuan dilakukan.

Tambahnya, turut ditahan empat lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi agen kepada sindiket kemasukan warga asing terbabit untuk bekerja di Malaysia.

“Kesemua PATI ditangkap di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/ 63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah perjalanan

“Manakala keempat-empat suspek warga tempatan ditangkap di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran(ANTIPSOM) 2007,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, turut dirampas, sebuah motosikal jenis Honda Wave, kenderaan jenis Vellfire, dua tangkai anak kunci serta sebuah telefon bimbit jenama Samsung.

Dedah beliau, ketika kejadian salah seorang suspek(warga tempatan) cuba memberikan wang suapan sebanyak RM2,000 kepada ketua pasukan serbuan agar tidak dikenakan undang-undang.

Susulan itu, katanya, kesemua suspek berserta barangan kes telah diserahkan kepada ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan lanjut.

Tambah Mancha, siasatan di bawah Seksyen 17(B) Akta SPRM 2009 atas kesalahan memberi atau menawarkan rasuah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

RAMAI… seramai 20 PATI ditahan PGA Batalion 11 di laluan tikus ladang sawit Kampung Mongkos