BETONG: Rancangan serta program untuk meningkatkan hasil terus diperkasa secara beransur-ansur ke arah menjadikan Bahagian Betong sebagai hub pengeluaran makanan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengeluaran hasil makanan harus dimulakan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

“Ini kerana, pada masa itu lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling, Spaoh dijangka siap untuk mengangkut hasil pertanian ke pasaran luar.

“Justeru, kerajaan kini sudah menyediakan beberapa kemudahan.

Antaranya Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Simpang Layar bagi durian serta satu lagi di Spaoh,” katanya. Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu berkata demikian ketika menghadiri taklimat projek di bawah Dana Mudah Cara Pertanian (AFF) bagi Bahagian Betong di sini, semalam.

Antara lain jelasnya, menambah baik pejabat organisasi petani daerah untuk memodenkan cara pemprosesan lada, gula apong dan madu kelulut.

“Malah, kerajaan merancang pusat demonstrasi pertanian bagi mempromosikan konsep pertanian moden seperti fertigasi.

“Sementara pejabat Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) di sini akan melakukan aktiviti penternakan selain membesarkan ladang kelapa sawitnya… disasarkan untuk menghasilkan sekitar 1,000 anak lembu setiap tahun,” ujarnya.

Tambah Uggah, Bakul Makanan BetongSarikei dan kawasan Agropolitan Bukit Sadok akan menjadi pusat pengeluaran utama.

Kerajaan katanya, akan menjemput pelabur swasta untuk terlibat sama.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Ketua Menteri Dr. Richard Rapu dan Pegawai Pertanian Bahagian Betong Petrus Kang turut hadir.