SEMATAN: Kerajaan Sarawak akan menyediakan infrastruktur asas untuk pelancongan termasuk komponen hospitaliti di Telok Melano, Sematan dan Lundu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu sebahagian daripada pelan induk bagi kawasan tersebut, kerana potensinya menjadi tarikan industri pelancongan.

“Dengan adanya infrastruktur ini, sektor swasta dapat masuk untuk melabur dan memasarkan destinasi-destinasi ini kepada dunia, yang mempunyai tarikan dari segi keindahan pantai dan taman negara.

“Itu adalah dari sudut kemajuan pelancongan yang akan kita bangunkan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja dan Majlis Pecah Tanah Masjid serta Anjung Usahawan Telok Melano di sini, semalam.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga akan menyediakan bekalan elektrik dan air. Justeru, beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta untuk melaksanakan pembekalan air sementara di kawasan Telok Melano, sementara menunggu bekalan air dari grid utama yang disalurkan menerusi Empangan Bengoh.

“Kami mempunyai pelan induk untuk grid air dari Empangan Bengoh bagi membekalkan air ke sini tetapi untuk melaksanakan projek ini, ia mengambil masa.

“Maka, kami melaksanakan projek jangka pendek di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk membangunkan sumber air sementara yang menelan kos kira-kira RM6 juta sementara menunggu bekalan air dari grid utama masuk ke Daerah Lundu,” katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda Pembangunan Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Adun Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu turut hadir.