KOTA SAMARAHAN: Jeritan meminta tolong abang dan adik perempuannya mengejutkan seorang lelaki yang sedang leka memecah masuk kediaman mereka berhampiran kawasan Muara Tuang Park, semalam.

Kejadian tersebut disedari oleh mangsa, 12 dan 14, apabila melihat seseorang tidak dikenali berada di dalam rumah lalu bertindak menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek lalu melarikan diri menerusi tingkap bilik tidur kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap oleh tindakan pantas daripada pasukan gerakan kereta peronda polis (MPV) Samarahan sekitar jam 3.10 petang.

Menurutnya, suspek lelaki, 23, ditemui bersama kenderaan jenis Proton Iswara yang dinaikinya hasil rondaan pihak MPV di Lorong 5D, Taman Punan.

“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan pecah rumah dengan mengumpil daun tingkap serta mematahkan jeriji tingkap bilik tidur kediaman terbabit.

“Suspek telah melarikan satu unit tabung duit yang dianggarkan berisi RM400 jumlah wang tunai,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek seterusnya akan direman selama empat hari bermula 14 Ogos 2020 untuk membantu siasatan lanjut.

Ujarnya, kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.