MIRI: Warga Miri dinasihati untuk tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca panas yang sedang melanda negara kini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, kebakaran besar mudah berlaku disebabkan keadaan kering dan tiupan angin kencang.

Beliau meminta orang awam terutamanya petani untuk mengurangkan atau berhenti melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian kebakaran besar.

“Disebabkan keadaan yang sangat kering, kebakaran sangat mudah merebak lebihlebih lagi apabila disertakan dengan tiupan angin kencang.

“Jadi, kebakaran terbuka yang dilakukan secara tidak terkawal akan merebak dengan cepat lalu menyebabkan kebakaran besar,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Beliau menambah, susulan cuaca panas, bomba kini giat memantau titik panas melalui imej satelit daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dan pembakaran terbuka,” ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 37 titik panas dikesan di seluruh ne-geri yang boleh mengakibatkan jerebu jika jumlahnya bertambah.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, cuaca kering dengan jumlah hujan yang sedikit akan meningkatkan jumlah titik panas dan mungkin akan menyebabkan jerebu.