KUCHING: Seorang penganggur yang mengaku bersalah merogol teman wanitanya di bawah umur dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan rotan.

Hakim Mahkamah Khas Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak Jason Juga mengarahkan lelaki yang berusia 25 tahun itu dikenakan hukuman berkenaan setelah mengaku bersalah mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Lelaki yang berasal dari Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya itu diarah menjalankan hukuman berkenaan bermula 13 Ogos.

Tertuduh mengaku merogol teman wanitanya berusia 13 tahun ketika kejadian dan kemudian menyebabkan mangsa mengandung serta melahirkan seorang anak lelaki.

Tertuduh melakukan kesalahan berkenaan di rumah mangsa di Kampung Bintawa Hilir pada Mac 2019.

Menurut fakta kes, setelah berkenalan dengan mangsa, tertuduh bermula bermain cinta dengan mangsa pada 3 Januari 2019 sehingga melakukan hubungan seksual bersama mangsa di rumah mangsa di Kampung Bintawa Hilir.

Kejadian yang berterusan sehingga mangsa mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Timbalan Pendakwa raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan hadir sebagai pihak pendakwaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.