KITA sudah diberi amaran kemungkinan negara berdepan jerebu rentas smpadan susulan letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia mengeluarkan abu dan asap setinggi 5,000 meter.

Kita juga bakal berdepan dengan masalah kemarau panjang sehingga Oktober.

Maknanya, jika kedua-dua ancaman ini bertembung – kita akan berdepan masalah lebih besar, kemarau, jerebu dan pasca-Covid-19.

Bagaimanapun, jerebu bukan perkara biasa kerana ia seakan-akan festival hadiah daripada negara jiran setiap kali hutan terbakar atau gunung berapi meletus, kita akan terkesan juga.

Tiada pilihan buat rakyat Malaysia apabila terpaksa menyedut udara tidak sihat dek kerana sikap tidak bertanggungjawab pelaku pembakaran terbuka ini.

Disebabkan itu, ramai yang mengalami masalah kesihatan, antaranya iritasi pada mata dan kulit serta masalah pernafasan seperti asma.

Setiap kali jerebu juga, bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan penafasan meningkat 20 hingga 30 peratus di 42 hospital kerajaan seluruh negara kesan daripada jerebu teruk dan sudah tentu, mereka yang berisiko terutamanya bayi, kanak-kanak dan warga emas amat terkesan dengan situasi ini.

Jika dilihat daripada perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa.

Foto Bernama

Hal ini akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan.

Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama.

Jerebu sememangnya menjejaskan kesihatan apabila udara di sekeliling dipenuhi debu-debu yang berbahaya yang akhirnya membawa banyak penyakit. Jangkitan kuman ke paru-paru, akut bronkitis, bronkitis yang kronik, asma dan mereka yang mempunyai penyakit paru-paru seperti lung fibrosis dan jantung yang lemah serta mereka yang mudah sensitif pada bahan-bahan toksik antara mudah terkesan.

Kadangkala jerebu boleh juga menyebabkan sakit kepala, gatal mata, hidung dan tekak. Pesakit turut mudah terkena batuk secara berterusan serta menunjukkan simptom-simptom respiratori seperti pernafasan berbunyi atau sesak nafas.

Paling dibimbangi, jerebu boleh mengakibatkan kematian jika pesakit jantung dan paru-paru menunjukkan gejala semakin lemah.

Dengan jarak penglihatan terhad serta bau kurang menyenangkan, sudah tentu jerebu memberikan kesan langsung kepada sektor pelancongan kerana pengunjung akan lebih bersifat selektif dan menangguhkan jadual perjalanan sekiranya keadaan jerebu berpanjangan.

Tanpa penguatkuasaan yang lebih ketat, episod sama pasti berulang. Kesimpulannya, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia.

Oleh itu, semua kita haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat.