KUCHING: Sarawak memulakan langkah membangunkan rangkaian 5G selaras hala tuju negeri memacu pembangunan teknologi digital sekali gus mencapai matlamat ke arah negeri maju 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini pelbagai aktiviti pembangunan di Sarawak rancak dilaksanakan termasuk membangunkan rangkaian 5G ini.

“Proses untuk membangunkan teknologi ini mungkin memakan masa hingga 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran 5G Test Bed Pertama di Sarawak di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) di Santubong, semalam.

Katanya, inisiatif berkenaan bakal menjadi cita-cita utama bagi Sarawak untuk bergerak maju di negara ini.

“Rangkaian ini akan dibangunkan di kawasan bandar sebagai permulaan.

“Selepas itu, ia akan dihubungkan dengan bahagian lain menerusi infrastruktur jalan yang ada.

“Ini bermakna kabel rangkaian jaringan ini selari dengan pembinaan jalan raya di negeri ini,” katanya lagi.

Pada masa sama katanya, ramai yang bertanya mengapa Sarawak perlu melancarkan rangkaian 5G sedangkan banyak lagi kawasan di negeri ini masih tidak mendapat liputan 4G terutama di kawasan luar bandar.

“Jawapannya, jika tidak melakukannya sekarang, Sarawak akan ketinggalan ke belakang.

“Sehubungan itu, kita perlu membangunkan inisiatif ini sebagai langkah untuk kebaikan dan kemajuan pada masa hadapan,” jelasnya.

Tambah beliau, kemajuan yang datang dengan teknologi 5G juga memudahkan rakyat dalam urusan dalam talian.

Pada masa sama, untuk melakukan transaksi pembayaran, ia boleh dilakukan melalui aplikasi Sarawak Pay. Katanya, pelaksanaan inisiatif seperti Sarawak Pay tidak terdapat di mana-mana negeri yang ada di Malaysia.

Ini menunjukkan Sarawak bercita-cita tinggi menuju arah negeri maju selari matlamat menjadi negeri maju pada 2030.