BELADIN: Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diharap dapat memberikan keutamaan untuk membina Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Daerah Pusa.

Demikian gesa Adun Beting Maro Razaili Gapor selepas melihat impak kes kebakaran terdahulu yang langsung tidak mampu diselamatkan ekoran jarak BBP yang sedia ada sangat jauh.

Menurutnya, kemudahan sebuah BBP di Daerah Pusa merupakan keperluan yang mendesak.

“Saya mengalu-alukan rancangan kerajaan untuk memasukkan pembinaan BBP di Daerah Pusa dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib di Dewan Rakyat pada Selasa.

“Saya fikir cepat lagi bagus. Malah amat bertepatan dengan status Pusa sebagai daerah penuh yang seharusnya memiliki BBP sendiri.

“Cukuplah dua, tiga kes menjadi iktibar untuk kita sentiasa bersiap siaga,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

Jelasnya, kebakaran yang melenyapkan tiga kediaman di Kampung Hulu Beladin baru-baru ini sepatutnya menjadi asas penting terhadap usaha mewujudkan sebuah BBP.

“Malah banyak lagi kes kebakaran yang tidak dapat diselamatkan antaranya melibatkan Masjid Lama Beladin, pasar Beladin dan pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beladin.

“Salah satu faktor mengapa tidak dapat diselamatkan kerana jarak BBP sedia ada yang jauh… mereka tidak dapat bertindak dalam tempoh 10 minit awal kebakaran.

“Jadi, mahu tidak mahu penduduk terpaksa menunggu bantuan BBP Saratok atau Betong yang jaraknya sekitar 50 ke 60 kilometer… dan terpaksa menggunakan perkhidmatan feri.

“Saya fikir keutamaan patut dipertimbangkan bagi kawasan yang terpisah seperti Beladin, Spinang, Semarang sehingga ke Maludam dan Triso. “Saya amat berharap kerajaan tidak hanya bercakap. Kami warga Daerah Pusa merayu kemudahan seperti BBP dapat dipercepatkan kerana terlalu banyak kerugiaan yang terpaksa ditanggung,” ujarnya.

Razaili juga menggesa kerajaan melihat perkara berkaitan seperti jalan masuk ke kampung agar dapat dilalui oleh jentera bomba yang besar.

“Selain itu, memastikan pili bomba berfungsi, serius menubuh dan melatih Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta menyediakan peralatan asas menyelamat kebakaran yang mencukupi.

“Sudah tiba masanya kawasan kampung tradisi yang padat serta rapat seperti Pusa, Beladin, Maludam, Tambak dan sebagainya mempunyai perancangan bandar yang tersusun dengan penjarakan selamat,” jelasnya.