KUCHING: Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin di bawah Projek Kecil Luar Bandar terus diperkasakan di kawasan Satok.

Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, semalam mereka memantau projek baik pulih rumah di Kampung Segedup dan Kampung Sungai Maong.

“Kita disediakan dana sebanyak RM15,000 di bawah MRP untuk membaik pulih sebuah rumah mengalami yang kerosakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas mengadakan Lawatan Kerja Projek MRP Satok oleh Ranting PBB Segedup, di sini semalam.

Tambahnya, dahulu rumah Sapiee Son di Kampung Segedup agak usang dan rosak pada bahagian atap.

“Atap sebelum ini bocor dan air menitis ke dalam rumah setiap kali hujan.

“Pemilik membuat permohonan untuk membaik pulih bahagian berkenaan,” katanya.

Jelasnya, ia diluluskan oleh ketua kaum, penghulu dan Ranting PBB Segedup dalam tempoh kira-kira tiga minggu.

Ibrahim turut mendedahkan di Kampung Segedup, terdapat enam rumah yang dibaik pulih bagi fasa satu dan dua.

“Projek ini juga akan dijalankan secara berterusan setiap tiga bulan,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, di kawasan Satok lebih daripada 50 rumah dibaik pulih di bawah projek itu dan selepas September, mereka melaksanakan kira-kira 30 hingga 40 projek lagi.

“Kami harap hingga penghujung tahun ini, kita dapat mencapai sasaran 80 hingga 100 projek seperti ini untuk rakyat,” tegasnya.

Beliau semalam turut mengadakan Lawatan Kerja Projek MRP Satok oleh Ranting PBB Sungai Maong di rumah milik Jafaar Abdullah.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdul Samat Gany serta wakil yang lain.