KUCHING: Sarawak dianggap oleh banyak negara sebagai negeri yang unik dalam pelbagai faktor. Salah satu daripadanya ialah keharmonian budaya dan agama yang wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Perkara seperti kepercayaan agama tidak pernah menjadi punca ketegangan atau pergolakan dalam masyarakat Sarawak, sebaliknya kebebasan beragama ditegakkan, malah diraikan.

Dalam usaha memelihara keharmonian antara agama, Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) pada 27 April 2017.

Sarawak, negeri pertama dan satu-satunya negeri di Malaysia mempunyai unit khusus untuk urusan agama bukan Islam – simbol penerimaan seluruh agama dan latar belakang di negeri ini.

Ia merupakan gagasan mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem. Penggantinya Ketua Menteri Datuk PatinggiAbang Johari Tun Openg terus membawa konsep itu.

Unifor, yang sebelumnya dikenali sebagai Unit Hal Ehwal Bukan Islam, diletakkan di Jabatan Ketua Menteri di bawah portfolio Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Misi dan tujuan Misi Unifor ialah memupuk dan mempromosikan pemahaman, toleransi, penerimaan, saling menghormati dan kerjasama dalam kepercayaan agama yang berbeza di Sarawak.

Pada dasarnya, ia untuk memastikan keperluan pelbagai kumpulan agama bukan Islam di negeri ini dapat ditangani dengan berkesan. Ini membantu pembangunan aspek fizikal pelbagai rumah ibadah di negeri ini, termasuk menambah baik, membaiki bangunan, menyediakan peralatan atau kelengkapan dan tanah perkuburan.

Kerajaan Sarawak komited dan telah memperuntukkan dana yang meningkat setiap tahun kepada Unifor membantu agama bukan Islam.

Pada 2017, RM15 juta diluluskan untuk Unifor, diikuti RM20 juta pada 2018, RM30 juta pada 2019 dan RM50 juta tahun ini.

Pengarah Unifor Richard Lon berkata, dari 2017 hingga tahun lalu, secara keseluruhan Unifor telah membantu 520 projek.

Menurutnya, untuk 2020 (hingga sekarang) Unifor menerima 1,008 permohonan dengan memerlukan kos sekitar RM440 juta.

Dengan peruntukan RM50 juta hanya untuk tahun ini, ia menimbulkan cabaran kepada unit berkenaan.

Melihat dari sisi lain jelasnya, lebih banyak orang kini menyedari penubuhan Unifor seperti dapat dilihat dalam peningkatan jumlah aplikasi projek.

“Kami perlu menilai setiap projek ini. Kami mempunyai jawatankuasa penilai dan jawatankuasa pelulus yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri.

“Kami menentukan projek mengikut keutamaan. Fokus kami adalah untuk membantu mereka yang sangat memerlukan.

“Mislanya, gereja tanpa atap atau dinding akan diutamakan daripada yang hanya memerlukan pagar,” tambahnya.

Beliau memaklumkan bahawa sebahagian besar bantuan agensi itu diberikan kepada gereja di luar bandar kerana aktiviti pengumpulan dana agak terbatas jika dibandingkan dengan di bandar.

“Kami tidak mempunyai kuota dan tidak ada tarikh akhir untuk bantuan. Kami akan menasihati pemohon untuk bersabar dan kami akan berusaha untuk menghubungi semua orang,” jelas Lon lagi.

Katanya, Unifor juga berperanan memudahkan permohonan untuk tapak baharu bangunan keagamaan. Pemohonan ujarnya dikemukakan melalui Unifor sebelum diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei.

Unit itu katanya, juga sedang berusaha untuk membangunkan tanah perkuburan berpusat. “Tanah perkuburan tidak mudah didatangi terutama berhampiran kawasan bandar.

Sebidang tanah yang besar biasanya berada di pinggir bandar. “Kami sedang mencuba yang terbaik dan berusaha ke arah ini,” katanya. Selain bantuan untuk struktur fizikal rumah ibadat, Unifor Charitable Trust ditubuhkan pada 2018 sebagai mekanisme untuk menyokong kegiatan kesejahteraan dan sosioekonomi masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Douglas Uggah mengatakan bahawa agensi itu fokus pendidikan, membasmi kemiskinan dan inisiatif lain untuk menyokong agama lain di Sarawak.

Beliau juga memberitahu, agensi itu bertindak sebagai jambatan antara agama Islam dan agama lain.

“Sebarang masalah dapat dibincang dan diselesaikan secara damai untuk kepentingan semua pihak,” katanya.