SERIAN: Enam pendatang asing tanpa izin(PATI) disyaki cuba balik ke Indonesia menerusi jalan tikus di kawasan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab berjarak 5.2 Kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia ditahan, semalam.

Kejadian disedari oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia(ATM) ketika dalam tindakan kawalan sempena Op Benteng di lokasi.

Jurucakap Sel Perhubungan Markas 1 Divisyen menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota 10 RRD ketika rondaan telah sekitar jam 4.30 petang.

Menurutnya, keenam-enam suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita ditemui menaiki tiga buah motosikal menuju ke sempadan sebelum ditahan pasukan operasi untuk pemeriksaan lanjut.

SERAH… kesemua enam PATI bersama barangan kes telah diserahkan kepada IPD Serian untuk tindakan lanjut

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka(suspek) tidak mempunyai pas lintas batas dan mengaku ingin pulang melalui jalan yang tidak sah,” jelasnya semalam.

Tambahnya, turut dirampas, barangan kes termasuk motosikal, sekampit beras 30 Kilogram dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM14,550.00.

Susulan itu, katanya, kes tersebut telah dilaporkan kepada Pegawai Memerintah 10 RRD, Lt Kol Rashidi Ghazali sebelum kesemua suspek bersama barangan kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan siasatan.

Dedah kenyataan itu, kejayaan dua kes cubaan keluar PATI menerusi lokasi sama menunjukkan kawasan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab menjadi laluan pilihan PATI untuk merentasi sempadan kedua-dua negara.

Walaubagaimanapun, tegasnya, tahap kesiagaan serta komited yang tinggi akan diberikan daripada pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mengawal persempadanan negara.