SANTUBONG: Kerajaan Sarawak menyasarkan negeri ini menjadi hab digital dalam tempoh 10 tahun lagi berdasarkan kekayaan yang dimiliki.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran itu dapat direalisasikan apabila Sarawak kini mempunyai sumber kuasa hidro yang dapat menghasilkan tenaga hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan fokus melatih modal insan mahir dan separuh mahir mengendalikan teknologi terlibat.

“Malah, kita sedang berusaha membina infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan dan menara telekomunikasi dalam melengkapkan inisiatif ke arah 5g,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Latihan Lanjutan Test Bed Centexs-SEDC dan Huawei Pertama Sarawak di Centexs kelmarin.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memasang infrastruktur 5G di kawasan bandar.

“Kemudian, kemudahan ini akan diperluaskan ke kawasan luar bandar, menelan kos besar untuk dilaksanakan. “Saya juga berunding dengan Kerajaan Persekutuan yang mengutip levi di bawah MCMC untuk berkongsi levi dengan Sarawak sebagai tambahan kepada belanjawan kita,” katanya.

Ketua Menteri menjelaskan, sebagai permulaan infrastruktur 5G diletakkan di kawasan bandar dan diluaskan ke luar bandar dengan meletakkan kabel selari jalan raya.

“Ia akan memakan masa lima hingga 10 tahun untuk membinanya namun, menjelang tahun 2030, kita akan memiliki infrastruktur berkenaan.

“Buat masa ini, hanya rangkaian 3G dan 4G yang terdapat di Sarawak,” ujarnya. Abang Johari memberitahu, meskipun ia satu cita-cita tinggi untuk menjadikan Sarawak sebagai penghubung siber tetapi ia mampu dilaksanakan selepas negeri ini berhak mengenakan cukai jualan ke atas Petronas.

“Kita cuba dapatkan wang bagi menambah baik infrastruktur asas apabila data raya akan menjadi kelebihan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan serta Pengerusi Centexs dan SEDC Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani antara yang turut hadir.