SERIAN: Pendapatan tambahan Kerajaan Sarawak meningkat empat kali ganda selepas mengenakan cukai jualan negeri (SST) terhadap produk petroleum yang digali di negeri ini berbanding royalti.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan untuk mengenakan SST amat rasional berdasarkan hak Sarawak melalui GPS.

“Kita tidak terburu-buru dalam cadangan mengenakan lima peratus SST produk petroleum yang keluar dari negeri ini.

“Mulanya Petronas tidak bersetuju tetapi kita ada hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Akhirnya Sarawak menang selepas dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan projek menaik taraf Jalan Padawan Tapah Bahagian Serian di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS meneruskan perjuangan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem untuk mendapatkan hak Sarawak yang terhakis.

“Selepas tiga bulan saya menggantikan Tok Nan, saya ambil alih Empangan Hidro Bakun daripada Kerajaan Persekutuan yang kini diurus oleh orang Sarawak.

“Selepas BN kalah di Kerajaan Persekutuan pula, kita mengambil keputusan untuk keluar daripada lambang dacing,” jelasnya.

Tambahnya, ketika bersama-sama BN mengamalkan dasar konsensus, suara Sarawak tetap tidak didengari kerana mengikut majoriti.

“Ini menyebabkan kita membuat keputusan membentuk GPS demi menjaga Sarawak.

“Malah Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan GPS kerana kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat mentadbir negara,” ujarnya.

Abang Johari memberitahu, episod kekalutan politik yang disusuli kemunculan pandemik Covid-19 awal tahun ini menyebabkan GPS berpendirian wajar mempertahankan Sarawak sebagai sebuah negeri dalam persekutuan.

“Politik di Semenanjung Malaysia tidak berkesudahan. Sering bertengkar antara satu sama lain kerana berebut jawatan Perdana Menteri dan ia berlarutan hingga hari ini.

“GPS pada mulanya menyokong Tun Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri tetapi beliau meletak jawatan. Keadaan menjadi kelam-kabut menyebabkan kita mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri sekarang,” katanya.