SERIAN: Kenyataan kurang bijak, komen ringkas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyelar kenyataan Pemuda PSB yang membantah pembinaan Kompleks Unifor.

Tegas Abang Johari, Sarawak menjadi negeri model perpaduan malah Kerajaan Sarawak bersikap adil kepada lain-lain agama di negeri ini dengan menubuhkan Unifor.

“Kita memberi peruntukan membina bangunan Unifor meskipun ada pihak yang tidak bersetuju.

“Kita mahu perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat manakala hubungan kita dengan Tuhan bersifat peribadi. Paling penting kita harus berpandukan ajaran agama ketika menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran projek menaik taraf Jalan Padawan-Tapah Fasa Satu Serian di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, rakyat Sarawak harus hidup di bawah perpaduan dan ukhuwah serta mengambil iktibar daripada apa-apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

“Di Semenanjung Malaysia, masyarakat Melayu merupakan kaum majoriti tetapi berpecah kepada beberapa kumpulan malah wujud lagi satu parti baharu.
Justeru, apabila berlaku perpecahan, sukar bagi kita bergaul mesra dengan kaum lain,” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Sarawak memberi peruntukan kepada Unifor untuk membangunkan rumah ibadat sama seperti agama Islam di negeri ini.

“Apabila perpaduan kita kukuh tanpa mengira agama, maka mudah untuk kita laksanakan tugas sebagai sebuah kerajaan yang berteraskan keharmonian,” ujarnya.

Adun Tarat Datuk Rolland Sagah; Adun Tebedu Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem turut hadir.