KUCHING: Usahawan mikro di Sarawak yang memerlukan dana tambahan boleh memohon bantuan kewangan dalam bentuk geran sehingga maksimum RM20,000 atau bantuan peralatan dan sebagainya.

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Naroden Majais berkata permohonan boleh dibuat melalui program keusahawanan dan skim bantuan perniagaan di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Justeru, usahawan terutamanya dalam kalangan usahawan mikro boleh memohon bantuan tersebut melalui dalam talian atau membuat permohonan melalui SEDC.

“Bagi usahawan yang baru memulakan perniagaan, syaratnya mereka sudah beroperasi selama tiga bulan. SEDC juga fleksibel terhadap mereka yang mempunyai pengalaman dengan membuat pertimbangan untuk meluluskan permohonan jika bidang yang diceburi itu berpotensi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat tawaran kepada peserta Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana Sarawak (SPIKS) di Menara SEDC, di sini.

Naroden berkata SEDC turut menyediakan kumpulan khas penasihat untuk usahawan yang mahu mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat mengenai program yang ditawarkan.

Katanya pada tahun ini, program USTEV dan GERAK mendapat dana tambahan berjumlah RM5 juta berikutan kedua-dua program itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada usahawan muda.

Sehingga 30 Jun lepas, seramai 106 usahawan muda di bawah program USTEV menerima bantuan bernilai RM1,740,412, dan dalam tempoh sama, seramai 76 usahawan telah mendapat faedah daripada program GERAK dengan nilai bantuan berjumlah RM1,402,454.

Pada majlis itu, seramai 39 usahawan yang layak menerima surat tawaran untuk program USTEV, GERAK dan SPIKS.