AKTIVITI judi dalam talian yang disifatkan semakin berleluasa merupakan cerminan kepada nilai integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka bukan sahaja berhadapan cabaran getir menangani jenayah tersebut, tetapi juga menerima tamparan hebat ekoran persepsi awam.

Lebih-lebih lagi apabila hangat diperkatakan tentang aktiviti judi haram di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini yang dikaitkan dengan pasukan keselamatan itu yang kononnya melindungi jenayah tersebut.

Bagaimanapun penulis yakin, pucuk pimpinan tertinggi PDRM sering mengingatkan kepada pegawai dan anggotanya untuk bersama-sama menjaga nama baik organisasi terutama sebagai penguat kuasa undang-undang.

Misalnya Isnin lalu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail memberi amaran agar semua warga PDRM di negeri ini mengelakkan diri daripada terlibat dan melindungi aktiviti judi haram dalam talian.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa pun yang didapati bersekongkol dengan kegiatan jenayah itu. Malah mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Oktober 2017 seperti dipetik Bernama pernah menyatakan ketegasannya menghapuskan jenayah tersebut di seluruh negara.

Biarpun nasihat demi nasihat, satu per satu amaran diberikan, namun aktiviti judi haram secara dalam talian masih wujud.

Sebab itu, segelintir masyarakat menyifatkan ‘pengendali’ aktiviti judi dalam talian, ada yang kebal daripada undang-undang.

Sudah pasti, jari akan dituding ke arah PDRM sebagai penguat kuasa undang-undang. Sehingga mungkin menimbulkan cakap-cakap yang PDRM ‘tidak buat kerja’.

Natijahnya, secara tidak langsung menimbulkan persepsi negatif terhadap nama pasukan. Begitu juga masyarakat akan mempersoal nilai integriti yang dipegang. Lebih teruk apabila pada April lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan aktiviti judi dalam talian meningkat pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ini senario yang membimbangkan dan harus dibanteras habis-habisan. Kerana, aktiviti judi haram dalam talian sekarang ini seolah-olah sudah menjadi barah dalam masyarakat.

Sudah terang lagi bersuluh, dakwaan banyak pihak mengatakan kegiatan itu berselindung di sebalik premis perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit, restoran dan kedai telekomunikasi.

Namun, kini transformasi modus operandi baharu berlaku yang menyaksikan pihak sindiket bergerak secara mobil mencari pelanggan.

Pertaruhan pula dibuat menggunakan alat komunikasi sebagai perantara.

Sasarannya sudah pasti golongan muda, para belia yang cukup senang dipengaruhi dan terikut-ikut.

Memetik kata Zamzuri Zakaria dari Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan judi merupakan aktiviti yang ditegah secara jelas oleh Islam.

Bahkan, keseluruhan agama menolaknya kerana ternyata membawa keburukan. Berdasarkan perspektif Islam, judi tergolong dalam salah satu cara perolehan harta secara batil. Ia diharamkan kerana wujud unsur ketidakpastian, kesamaran, penipuan, untung dan rugi hanya berdasarkan kepada nasib bukan kepada usaha sebenar.

Ia direka dalam pelbagai jenis dan bentuk dan pelaksanaannya berlaku secara tradisi dan moden, nyata dan maya serta sentiasa diubah suai bagi memenuhi hasrat pemakan harta secara batil. Jadi, mengapa ada anggota masyarakat melakukannya?

Pertama, sifat tamak yang menguasai diri. Ada sesetengah masyarakat yang ingin cepat kaya menyebabkan ramai yang terjebak. Malah apabila sudah menang sekali akan menjadi pendorong untuk terus berjudi, berjudi dan berjudi.

Kedua, wujud permintaan dan penawaran. Pengusaha aktiviti judi haram dalam talian tidak akan melepaskan peluang kerana mereka mementingkan keuntungan. Maka, apabila banyak permintaan terhadap kegiatan tersebut maka lebih banyak pusat judi haram dibuka termasuk dalam talian.

Dan ketiga ialah ketagihan. Kebanyakan mereka yang aktif terlibat merupakan golongan yang tidak bekerja dan cenderung menghabiskan masa dengan sesuatu yang melalaikan. Misalnya tarikan terhadap elemen dalam mesin judi.

Dalam hal ini, PDRM berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk memeranginya. Kerana, ia membabitkan pelayan komputer yang berada di luar negara serta kewujudan aplikasi perjudian di telefon pintar lebih menyulitkan tindakan penguat kuasa.

Justeru, masyarakat juga harus membantu pihak berkuasa memerangi jenayah itu dengan menyalurkan maklumat berkaitan ke taliantalian yang disediakan.

Ini bukan tugas PDRM semata-mata, sebaliknya anggota masyarakat juga bertanggungjawab kerana mereka lebih melihat dan mendengar apa yang berlaku di kawasan masing-masing.

Jangan takut dan usah risau untuk bekerjasama dengan PDRM dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih.

Anggaplah maklumat tentang setiap salah laku jenayah yang dilaporkan sebagai pahala kita membendung kerosakan dalam masyarakat.

Dalam masa yang sama, pegawai dan anggota PDRM di seluruh negara harus menjunjung tinggi nilai integriti untuk memastikan nama baik pasukan terus terjaga. Jangan kerana setitik nila, rosak susu sebelanga.

Jadilah penguat kuasa undang-undang yang berpaksi kepada kebenaran.

Pada 2017, 34 individu diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 berkait kesalahan judi dalam talian, judi loteri haram, judi bookie dan judi di tempat bebas/dalam bangunan.

Dalam tempoh antara Januari sehingga 20 Julai 2018, 32 orang ditahan mengikut akta sama berhubung pelbagai kesalahan berkaitan judi.

Secara keseluruhannya, 176 orang telah diambil tindakan mengikut akta berkenaan sejak POCA diperkenalkan pada 2 April 2014.

Sepanjang 2017 juga PDRM melakukan 9,850 serbuan membabitkan 17,998 tangkapan dan 60,010 rampasan mesin judi.

`Ini sekali lagi membuktikan PDRM memandang berat kenyataan daripada pelbagai pihak yang mempertikaikan kesungguhan dan keberkesanan tindakan pihak polis dalam menangani aktiviti judi dalam talian, sedangkan PDRM amat komited untuk menanganinya.