BAU: Pengalaman yang diperoleh dari Kundasang, Sabah dijadikan inspirasi untuk mengubah Kampung Merembeh sebagai kawasan ekopelancongan.

Kampung Merembeh dikenal pasti sebagai kawasan sesuai untuk penternakan lembu dan dilaksanakan di bawah Dana Kemudahan Pertanian (AFF) Serembu.

Ahli Majlis Daerah Bau Angnes Jonep berkongsi kepada Suara Sarawak tentang idea menjadikan Kampung Merembeh seperti Kundasang.

Angnes menjelaskan, inspirasi tercetus apabila Adun Serembu Miro Simuh bersama-sama ketua kaum dari Serembu mengadakan lawatan sambil belajar ke Sabah tahun lalu.

“Apabila ke Sabah, kami melihat segala-galanya. Keadaan geografi juga sama.

“Justeru, kami mula membuat cadangan dan mungkin ini akan membantu ekopelancongan dan kawasan sekitar.

“Ini bukan sahaja menambah baik taraf hidup penduduk setempat, malah ia juga berpotensi menjadi tempat pelancongan,” katanya ketika ditemui pada Program Jangkaun Komuniti Lanjutan di Balai Raya Kampung Kopit, kelmarin.

Jelasnya lagi, selaku komuniti Kampung Merembeh, dia bangga dan gembira projek tersebut bakal dilaksanakan.

Tambah Angnes, penduduk Kampung Merembeh sebelum ini menanam kopi namun kurang pendedahan, penduduk kampung beralih kepada tanaman sawit.

Angnes percaya, projek ternakan lembu akan berjaya dengan adanya perancangan yang betul bersama-sama Miro, MDB dan komuniti yang terlibat.

“Apabila Kampung Merembeh berubah menjadi kawasan pelancongan seperti Kundasang, ia akan memacu ekonomi setempat,” katanya.