LEGA rasanya sebaik Sarawak berstatus hijau selepas Daerah Kuching dan Serian tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari.

Ini bermakna segala usaha yang telah kita lakukan sejak Mac lalu membuahkan hasil, namun sekarang ini bukanlah masa untuk bersuka ria, kerana perjuangan memerangi wabak ini belum lagi berakhir.

Kita perlu berhati-hati bagi mengelak jangkitan baharu yang amat sukar untuk diramal.

Namun ketika pandemik Covid19 kelihatan semakin reda, cuaca panas dan jerebu mula menghantui penduduk Bumi Kenyalang.

Sejak dua minggu kebelakangan ini beberapa bahagian di negeri ini begitu terasa bahang kepanasan. Bahagian Kuching dan Miri misalnya.

Foto Bernama

Mujurlah di Kuching semalam sedikit banyak menyejukkan persekitaran. Namun ia hanyalah seketika kerana cuaca panas dijangka berterusan sehingga Oktober depan.

Ini bermakna, kita perlu bersedia dari sekarang bagi menghadapi segala kemungkinan. Kemarau dan jerebu dijangka akan berlaku.

Dalam hal ini, penjagaan kesihatan amatlah penting. Kita perlu kembali kepada asas, yakni minum banyak air kosong, terutama sepanjang waktu siang.

Ia penting bagi memastikan tubuh badan kita sentiasa mempunyai bekalan air mencukupi. Di samping itu, kurangkan aktiviti di luar rumah, kerana ia boleh menyebabkan keletihan melampau, mudah haus dan berisiko untuk demam atau selesema.

Selain itu, penjagaan pemakanan juga perlu diambil kira. Banyakkan memakan buah-buahan atau sayur-sayuran bagi memastikan tubuh sentiasa cergas dan segar.

Bagi atlet yang terdedah dengan latihan intensif, banyakkan minum air kosong sama ada malam atau siang bagi mengekalkan kestabilan tubuh badan.

Malah atlet amat dituntut untuk menjaga pemakanan, lebih banyak mengambil makanan sihat yang boleh membantu meningkatkan stamina atau kecergasan, sekali gus menjadi benteng serangan penyakit musim panas.

Misalnya mengambil lebih banyak makanan berprotein tinggi, buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Bagi yang agak keliru atau kurang ilmu tentang penjagaan kesihatan, eloklah bertanya kepada mereka yang lebih arif atau terus merujuk kepada doktor.

Demi kesihatan diri atau keluarga usah malu bertanya. “Kalau nak sihat… kena dengar nasihat.”

Selain faktor kesihatan, penjagaan dan keselamatan di rumah atau pekarangan rumah juga perlu diambil kira.

Ini kerana dalam keadaan kepanasan, mudah berlaku kebakaran. Oleh itu, elakkan membakar sampah sekarang ini.

Ingat!… ketika kecil api menjadi kawan, tetapi akan menjadi lawan apabila ia besar.

Di samping itu, pastikan dapur dalam keadaan selamat, terutama ketika menjerang air. Jangan sekali-kali terlupa untuk menutup api, setelah air masak atau selepas memasak. Ia amat berbahaya.

Seperti yang kita sedia maklum, rekod kebakaran rumah menunjukkan ia juga berpunca daripada api di bahagian dapur. Bagi yang menggunakan dapur kayu untuk memanggang ikan atau ayam, pastikan tiada bara yang tertinggal selepas tugas selesai.

Periksa juga soket elektrik dan hendaklah sentiasa ditutup ketika tidak menggunakannya. Langkah-langkah keselamatan apabila berlaku kebakaran juga harus dititikberatkan.

Anak-anak hendaklah sentiasa diingatkan agar tidak bermain api sesuka hati.

Semua kita perlu berwaspada dengan sebarang kemungkinan. Kita juga tidak harus terlalu bergantung kepada ramalan cuaca, kerana ia hanyalah ramalan, tidak semestinya betul dan tepat. Diramal hujan, tetapi panas, atau sebaliknya.

Sementara itu, Isnin lalu kita dikejutkan dengan letusan Gunung Sinabung, menyebabkan Sumatera Utara ‘berkabus’. Malah kesan letusan tersebut memasuki ruang udara utara Selat Melaka. Turut terkesan ialah negeri-negeri di utara Semenanjung seperti Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang. Malah negeri di pantai timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terkena.

Walaupun kesanya tidak merebak ke Kepulauan Borneo, namun kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga, terutama kebakaran hutan di negara jiran itu yang boleh menyebabkan jerebu menyelubungi seluruh Malaysia seperti yang sering berlaku saban tahun.

Sebagai langkah awal, elakkan melakukan pembakaran secara terbuka sekarang ini, terutama di kawasan ladang, kebun atau hutan. Ini kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan ketika cuaca panas dan berangin, lantas menyebabkan jerebu.

Ini kerana, aktiviti membakar rumput kering di sawah merupakan salah satu tradisi petani sebelum menanam padi.

Walaupun, mereka tahu risikonya, namun tidak ramai yang mengendahkannya. Mereka hanya akan sedar dan insaf setelah berlaku musibah. Kata orang… “sudah terhantuk baru tengadah”.

Oleh itu, hukuman berat amatlah wajar sebagai pengajaran kepada mereka yang terlibat.