KOTA SAMARAHAN: Tiga blok rumah jenis tidak kekal didiami 100 pekerja buruh binaan musnah keseluruhan dalam insiden kebakaran beralamat lorong 1T, Taman Berlian, hari ini.

Cuaca angin kencang ketika kejadian dipercayai punca api besar merebak ke seluruh bahagian blok merangkumi 30 pintu itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya ada menerima laporan kejadian daripada orang awam sekitar jam 4.22 petang.

Susulan itu, katanya, seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan bersama lapan anggota BBP Tabuan Jaya telah dikerahkan ke lokasi bagi tindakan operasi pemadaman.

“Laporan awal komander operasi melaporkan kebakaran telah memusnahkan tiga blok rumah pekerja binaan.

“Kesemua 30 pintu ketiga-ketiga blok rumah jenis tidak kekal terbabit musnah 100 peratus manakala satu blok terjejas tujuh pintu akibat kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, operasi pemadaman kebakaran kini dilaporkan dalam keadaan terkawal.

Kejadian bagaimanapun tidak membabitkan sebarang insiden kemalangan jiwa pekerja kediaman berkenaan.

MUSNAH…Ketiga-tiga blok rumah kediaman pekerja hancur akibat kebakaran