KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin menegaskan beliau tidak pernah mengkhianati parti itu.

“Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi tidak ada sebab untuk saya khianat parti yang saya sendiri tubuhkan,” kata Perdana Menteri.

Katanya, beliau sendiri telah melalui fasa jatuh dan bangun dalam politik yang menjadi sebahagian daripada asam garam kehidupan yang perlu beliau terima.

“Ada kalanya saya di atas. Ada kalanya saya di bawah. Kali ini Allah SWT memberikan kepada saya satu amanah besar untuk memimpin parti dan kerajaan.

Pengalaman mengajar saya bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa hanya sementara. Ia bukan kurniaan untuk kita bermegah-megah.

“Ia juga bukan hak untuk kita miliki selama-lamanya. Tetapi kuasa pemerintahan merupakan satu amanah berat untuk kita pikul,” kata Muhyiddin dalam perutusan bersempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020.

Perutusan tersebut dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebook rasmi Muhyiddin, kelmarin. Muhyiddin yang juga pemangku pengerusi parti berkata, apa-apa sahaja jawatan parti yang dipegang, merupakan amanah yang mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

“Bagi yang kalah dalam pertandingan dan tidak memegang apa-apa jawatan, jangan kecewa, jangan merajuk. Teruslah istiqamah dalam perjuangan. Dalam perjuangan politik, jatuh bangun itu perkara biasa.

“Buktikan keikhlasan dalam berjuang. Insya-Allah saudara-saudari akan berpeluang untuk terus berbakti kepada parti, bangsa dan negara,” katanya.

Pemilihan Bersatu membuka tirai semalam membabitkan sayap Armada, diikuti Srikandi hari ini manakala pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi pula akan berlangsung semasa persidangan peringkat bahagian yang dijadualkan 22 Ogos ini. – Bernama