KUCHING: Kapal Jantan akan memunggah hasil ke dalam kapal Betina sebelum dipindah ke kapal induk yang menunggu di luar perairan negara.

Begitulah modus operandi dua kapal ikan Vietman yang begitu rakus merompak hasil laut untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, dua kapal nelayan berkenaan dengan nombor pendaftaran palsu ditahan ketika leka menangkap ikan di perairan Sarawak pada jarak 170 batu nautika di utara Tanjung Sirih pada Rabu.

Katanya, kedua-dua kapal terbabit ditahan dalam operasi pasukan maritim menerusi Op Naga Laut Timur sekitar jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, 20 awak-awak warga Vietnam masing-masing berusia 24 hingga 53 tahun turut ditahan.

“Rondaan kawalan pasukan di lokasi pada awalnya mendapati kedua-dua kapal itu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu iaitu SF2-125 dan SF2-126 semasa menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua anak kapal gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan serta pengenalan diri sah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salehuddin (Komtas) semalam.

Dedahnya, dianggarkan sejumlah 40 tan ikan pelbagai jenis dengan 13,000 liter minyak turut ditemui di dalam kapal berkenaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2.5 juta.

Robert menambah, kapal dikenali dengan panggilan Betina dinaiki 17 anak kapal membawa hasil tangkapan sebelum dipunggah ke dalam kapal Jantan yang dinaiki tiga lagi suspek.

Manakala satu kapal induk yang lebih besar menunggu di sempadan perairan.

Tambahnya, kesemua suspek juga disaring Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuching namun keputusan kesemuanya negatif.

Katanya, kedua-dua kapal berkenaan dirampas di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai dokumen sah untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Tegasnya, jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda RM6 juta atau dipenjara sehingga dua tahun.

Manakala anak kapal boleh didenda RM600,000 atau boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dilucutkan hak vesel oleh Kerajaan Malaysia.

Terdahulu katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) diarah membantu proses sanitasi kedua-dua kapal itu termasuk bot pasukan keselamatan yang terlibat operasi berkenaan.

Sementara itu kata Robert, sejak Januari sehingga kini, 10 bot warga asing dengan nilai RM10 juta dirampas oleh Maritim Sarawak.

Ujarnya, pasukan operasi dijangka menggunakan pesawat Bombadier CL415 bagi penguatkuasaan lebih luas di perairan Sarawak pada penghujung Ogos ini.