TEKA-TEKI tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akhirnya terjawab apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 26 September depan sebagai tarikh mengundi.

Manakala penamaan calon pada 12 September, diikuti pengundian awal pada 22 September.

PRN tersebut melibatkan 1.12 juta pengundi dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan turun mengundi.

Manakala tempoh berkempen 14 hari, bermula pengisytiharan calon yang bertanding, sehingga 25 September.

Dun Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Jadi, adakah PRN Sabah memberi gambaran yang lebih jelas bahawa PRN-12 Sarawak akan menyusul selepas ini?

Mengikut kebanyakan pemerhati politik di Bumi Kenyalang, kemungkinan itu tetap ada, apatah lagi keadaan sekarang ini semakin pulih daripada wabak Covid-19.

Mungkin Oktober atau November?

Kedua-dua bulan tersebut dilihat sebagai amat wajar, berbanding Disember, bulan permulaan musim tengkujuh.

Tambahan pula, keadaan politik di Bumi Kenyalang sekarang ini cukup stabil bagi pemerintah, dan pada masa yang sama pihak pembangkang kelihatan serba goyah mencari arah.

Malah ada juga kemungkinan ia diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

Sebelum ini, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing mencadangkan agar PRN dan PRU diadakan secara serentak.

Malah angin bertiup kencang apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan PRU-15 dalam masa terdekat.

Adakah ia bagi membolehkan PRU-15 dijalankan serentak dengan PRN Sarawak?.

Sebelum ini, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu sebanyak RM1.2 bilion diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika pilihan raya umum mengejut diadakan dalam tempoh penularan Covid-19 sekarang.

Jumlah itu adalah anggaran untuk melaksanakan proses pilihan raya dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Pada PRU-14, peruntukan RM500 juta digunakan bagi memastikan 14.9 juta pengundi diberi kemudahan untuk memilih 222 Ahli Dewan Rakyat dan 505 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Bagi PRU SPR menganggarkan jumlah perbelanjaan antara RM750 juta hingga RM800 juta, berbanding RM500 juta pada PRU-14 lalu.

Bagi PRN Sarawak sebelum ini, SPR memperuntukkan RM181 juta. Daripada RM15 juta yang diterima SPR bagi 2019, sebanyak RM12,946,353.50 dibelanjakan untuk pelaksanaan lima pilihan raya kecil (PRK) iaitu PRK Parlimen Cameron Highlands, Parlimen Sandakan dan Parlimen Tanjung Piai serta Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih dan Dun Rantau.

Untuk rekod PRN Sarawak ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai 2021.

Jika pilihan raya diadakan serentak, ia akan memudahkan SPR dalam melakukan proses pilihan raya selain turut menjimatkan masa serta kos.