1800.46 liter diesel gagal diseludup di Serian

SERIAN: Sebuah lori membawa minyak diesel bernilai sekitar RM 3,276.84 disyaki diseludup secara haram berjaya dipatahkan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am, pada Khamis.

Perkara tersebut disahkan oleh Jurucakap Unit Pengurusan Media dan Publisiti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menerusi satu kenyataan rasmi, hari ini.

Menurutnya, kegiatan terbabit telah disita menerusi Op Libas PGA sebelum kes diserahkan kepada pihaknya sekitar jam 6 petang untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori jenis Toyota menjumpai minyak Diesel sebanyak 1800.46 liter dengan nilai anggaran RM3,276.84.

“Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit yang juga warga tempatan tidak memiliki lesen ataupun kebenaran untuk memiliki serta menjalankan urus niaga barang kawalan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua barang kawalan termasuk lori terbabit telah disita untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM93, 276.84.

Susulan itu, katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM3 juta bagi setiap kesalahan sekiranya orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan.

“Jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya lanjut.

Ujarnya, KPDNHEP akan sentiasa memantau serta menjalankan pemeriksaan untuk memastikan aktiviti ketirisan barang kawalan bersubsidi dapat dibendung secara berterusan.

SITA… sebuah lori dengan muatan 1800.46 liter minyak diesel dipercayai cuba diseludup telah disita PGA di Serian

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak