DARO: Impian penduduk 18 rumah panjang dan sebuah kampung di Batang Lassa untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam bakal menjadi kenyataan.

Adun Daro Safiee Ahmad berkata, pelaksanaan projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di kawasan berkenaan sudah bermula dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun.

Projek itu katanya, merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak yang menyasarkan liputan bekalan elektrik sepenuhnya di luar bandar menjelang 2025.

“Pelaksanaan projek yang memberi impak besar dalam tempoh jangka panjang ini menelan kos hampir RM15 juta, merangkumi pemasangan kabel elektrik merentangi dasar lima batang sungai.

“Saya harap penduduk di kawasan ini akan menikmati bekalan elektrik sebelum perayaan Gawai Dayak tahun depan,” katanya selepas menghadiri Majlis Dialog Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Mohamad Din di Batang Lassa.

Sesi dialog antara wakil Sarawak Energy, konsultan, kontraktor dengan wakil penduduk itu bertujuan memberi penerangan mengenai projek terbabit.

Sehubungan itu, Safiee menggesa penduduk terlibat supaya memberi kerjasama bagi memastikan projek siap mengikut jadual.

“Projek ini membuktikan kesungguhan usaha kerajaan menunaikan janji bagi memastikan seluruh penduduk pedalaman dan luar bandar negeri ini menikmati bekalan elektrik.

“Justeru, saya berharap tidak ada isu yang boleh menjejaskan atau melambatkan kerja menyiapkannya.

“Sudah pasti, saya gembira dengan pelaksanaannya kerana projek ini bakal mengakhiri penantian penduduk sejak 60 tahun lalu,” katanya.

Beliau mengingatkan penduduk supaya bersedia menerima perubahan pembangunan dan memanfaatkannya untuk mengubah taraf hidup dan meningkatkan sosioekonomi.