KOTA SAMARAHAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan menubuhkan enam pasukan petugas bagi memantau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Sudirman Kram berkata, pemantauan itu perlu dijalankan supaya SOP diamalkan dan dipatuhi masyarakat setempat.

“Bermula pada tempoh PKPP, sebanyak 174 kompaun dikeluar kepada individu yang gagal mematuhi SOP. “Kita akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas kepada masyarakat serta peniaga yang tidak mematuhi SOP seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas pelancaran Majlis Kongsi Rezeki Komuniti Niaga yang Lestari Pasca Covid-19, di Medan Selera Farley di sini, kelmarin.

Tambahnya, perkara tersebut dilaksanakan untuk memastikan masyarakat setempat selamat daripada jangkitan Covid-19.

“Usaha memutuskan rantaian Covid-19 akan dapat dicapai dengan mudah sekiranya semua pihak bekerjasama mematuhi SOP yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau mendedahkan kesalahan yang sering dilakukan peniaga ialah tidak menyediakan pengimbas suhu badan, buku maklumat pelanggan dan ia tidak ditulis dengan tepat serta tidak menyediakan pensanitasi tangan.

Menurutnya, masyarakat biasanya tidak menjaga penjarakan fizikal ketika mengunjungi premis perniagaan. “Setakat ini, pemantauan di seluruh kawasan Kota Samarahan hingga ke Sadong Jaya.

“Pematuhan amat memuaskan kerana untuk mengeluarkan satu kompaun pada satu hari, bukan kerja mudah kerana memerlukan kerja yang teliti dalam operasi ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan kompaun bukan bertujuan menyusahkan rakyat tetapi mendidik mereka supaya hidup dengan norma baharu seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Ia juga untuk memastikan kita boleh hidup dalam keadaan yang harmoni dan selamat walaupun isu Covid19 ini belum selesai 100 peratus,” katanya lagi.

Beliau juga memberitahu, pasukan penguat kuasa tidak menetapkan apa-apa kuota berkaitan jumlah kompaun dikeluarkan.

“Ini menunjukkan bahawa tindakan kita tegas sematamata untuk mendidik masyarakat supaya patuh pada SOP,” jelasnya lagi.