PENOLONG jurulatih Kuching FA, Sharizan Sahari menyifatkan semua pasukan lawan adalah saingan yang sukar sebaik Liga Premier 2020 disambung semula pada 26 Ogos ini.

Menurutnya, semua pasukan mempunyai persiapan tersendiri dan mahu menang. “Apa yang kita lakukan adalah berhati-hati dan fokus dengan permainan dan perancangan pasukan.

“Tambahan pula, kita baru berlatih setelah tamat tempoh kuarantin wajib 14 hari selepas lima orang pemain kita disahkan positif Covid-19,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, keadaan kesihatan semua pemain adalah baik kecuali lima pemain yang masih menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Kesemua mereka telah sembuh dan keputusan ujian saringan juga negatif. Mereka akan tamat tempoh kuarantin pada 21 Ogos ini.

Ujarnya, kekurangan lima pemain tersebut sedikit sebanyak merencatkan persiapan pasukan.

Kuching FA telah pun memulakan sesi latihan pada 12 Ogos lalu selepas dikuarantin 14 hari.

Mereka akan menentang Selangor 2 pada 26 Ogos ini, jam 8.15 malam di Stadium Sarawak.